Kesediaan Muafakat Nasional (MN) mencalonkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bukti Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu mendapat kepercayaan rakyat sepanjang mengetuai kerajaan selama ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob berkata, ia sekali gus menjadi faktor sokongan UMNO dan Pas dalam gerak kerja Muhyiddin menangani krisis COVID-19 dan pasca pandemik berkenaan.

"Kita tidak boleh memerintah negara hanya dengan satu kumpulan tertentu sahaja. Maka ini juga saya lihat satu kelebihan Muhyiddin di dalam konsep penyatuan ini, bagaimana apabila terbentuknya sebuah kerajaan baru.

"Baru-baru ini penyatuan telah berjaya dibuat oleh perdana menteri daripada parti-parti Melayu dan bukan Melayu berada di bawah satu pimpinan beliau.

"Akhirnya urusan tadbir negara hari ini jauh lebih baik daripada urus tadbir negara selama tempoh 22 bulan Pakatan Harapan (PH) memerintah negara," katanya ketika dihubungi di sini, pada Jumaat.

BACA: Muafakat Nasional sokong Muhyiddin calon PM untuk PRU15

BACA:
Pas sokong Muhyiddin sebagai calon PM untuk PRU15

Setiausaha Bersama MN, Tan Sri Annuar Musa sebelum ini menjelaskan, keputusan menyokong Muhyiddin dicapai dalam satu mesyuarat Jawatankuasa Pemandu gabungan itu, baru-baru ini.

Dalam pada itu kata Ahmad Jazlan, unsur-unsur itu perlu dilihat sebagai perkara yang patut dinilai oleh rakyat yang mahukan kenikmatan keamanan dan keharmonian dalam negara.

"Ini juga bertolak daripada rasa yakin dan kebijaksanaan tertentu yang akan dibuat perdana menteri di dalam memastikan beliau dapat memacu negara ini kembali bangkit dan pulih daripada kemelut yang tidak perlu dihurai di sini yang berlaku beberapa bulan yang lepas," ujarnya.

Sebelum ini, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa partinya menzahirkan dukungan terhadap kepimpinan Muhyiddin dan permuafakatan politik PN demi mensejahterakan negara dan rakyat.

Abdul Hadi berkata mereka bermuafakat untuk memperkukuhkan persefahaman serta kerjasama demi kestabilan politik, kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.