Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 yang lalu, Parlimen Tambun mencatatkan jumlah pengundi paling ramai di Perak iaitu seramai 89,435 orang.

Jumlah tersebut meningkat kepada 107,763 pengundi pada PRU14 ini dengan pecahan 66.32 peratus kaum Melayu, 20.22 peratus kaum Cina, kaum India 11.42 peratus, Bumiputera Sabah 0.18 peratus, Bumiputera Sarawak 0.33 peratus, Orang Asli sebanyak 1.08 peratus, manakala lain-lain kaum pula sebanyak 0.45 peratus.

Dilihat dari segi pembangunan infrastruktur, Tambun yang terletak berhampiran pusat bandar Ipoh menerima limpahan pembangunan yang banyak disebabkan kawasan Ipoh sendiri sudah pun padat dengan penduduk serta rancak dengan pelbagai aktiviti ekonomi.

Tambun yang terletak berhampiran pusat bandar Ipoh menerima limpahan pembangunan yang banyak

Namun, masih terdapat beberapa isu di Parlimen itu yang perlu dipandang serius oleh calon-calon yang bertanding di kerusi P063 itu.

Kerusi Parlimen Tambun menyaksikan pertandingan tiga penjuru melibatkan penyandang Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, Pengerusi Gabungan Pembangkang PKR Perak, Ahmad Faizal Azumu dan PAS Muhamad Zulkifli Zakaria.

Astro AWANI berjaya menemu bual beberapa orang penduduk sekitar Tambun bagi mendapatkan pandangan mereka tentang apakah yang mereka harapkan daripada pemimpin yang bakal mereka pilih pada 9 Mei nanti.

Seorang penjawat awam dari Taman Perpaduan Koperasi 1, Mustafa Kamal Alias berkata sebagai masyarakat di Tambun beliau mengharapkan supaya pembangunan akan dapat dilaksanakan dengan lebih pesat, khususnya dalam pembangunan pendidikan.

"Antara lain pembangunan perumahan membantu mereka yang berada pada paras pendapatan yang sederhana untuk memperoleh rumah sendiri, khususnya golongan muda.

"Saya juga mengharapkan pembangunan modal insan yang ditekankan dengan membina surau, masjid, dewan serbaguna yang dapat kita gunakan," kata Mustafa Kamal.

Athnah Abdul Shukor, 55, penduduk di Kampung Chepor Dalam, Chepor mengutarakan masalah jalan yang tidak rata di kampung beliau.

"Mak cik nak minta besarkan jalan, lepas tu tambah lampu banyak sebab tiap kali kilat, lampu selalu padam tapi tak ada orang baiki.

"Jangan kata sebelum ini janji lepas tu esok langsung lupa. Makcik kalau boleh, lepas saja mengundi, terus buat," kata Athnah.

Seorang belia di Taman Bertuah deka Chemor pula mengusulkan Karnival Sukan Rakyat dan penambahbaikan gelanggang sepak takraw.

Menurut Wan Mohammad Afiq Wan Aris Fathillah, 20, belia di kawasan perumahan itu minat dengan sukan dan sering mengadakan aktiviti termasuk kelas taekwando dan silat di Dewan komuniti Taman Bertuah.

"Setiap kali ada pertandingan sepak takraw memang mendapat sambutan yang menggalakkan dari belia, jadi diharapkan akan ada penaiktarafan kepada gelanggang sedia ada dan juga pembinaan baharu untuk menggalakkan para belia di sini mengamalkan gaya hidup sihat," kata Wan Mohammad Afiq.

Mengambil maklum dengan keperluan rakyat, Ahmad Husni yang akan mempertahankan kerusi yang disandang itu buat penggal keenam mengakui banyak lagi penambahbaikan yang diperlukan Tambun di sebalik transformasi yang telah dibawanya sepanjang menjadi wakil rakyat di situ sejak 1995.

Ahmad Husni berkata telah dihubungi syarikat pembinaan rumah untuk membina projek perumahan mampu milik untuk rakyat.

"Sebuah syarikat pembinaan yang mempunyai tanah dekat Changkat Kinding minta saya untuk berbincang dengan pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk masuk di bawah program Rumah Mampu Milik, jadi kalau dapat itu maknanya peluang untuk penduduk Tambun memiliki rumah lebih tinggi.

"Saya juga melihat kepada perancangan yang teratur macam sekarang kita Meru Raya kita tengok teratur je bangunan tapi kalau kita pergi tempat-tempat lama ia tidak begitu teratur.

"Jadi untuk pembangunan masa depan ni kita nak semua itu teratur, biarlah Tambun ini menjadi suatu kawasan semi-urban yang teratur," tambah beliau ketika ditemui di program Perjumpaan Bersama Gerakan Belia 4B Tambun dan Majlis Belia Daerah Ipoh.

Beliau juga sudah merangka agar infrastruktur yang belum dilaksanakan seperti jalan, longkang akan diselesaikan selepas pilihanraya selesai.

Mengulas mengenai modal insan, beliau berkata pembinaan 24 buah perpustakaan di kawasan-kawasan perumahan sekitar Tambun dapat menjadi pemangkin kepada para pelajar untuk memanfaatkan kemudahan itu sekali gus melengkapkan diri mereka dengan ilmu selaras dengan peranan mereka sebagai generasi akan datang.

Sementara itu, calon Pakatan Harapan, Ahmad Faizal Azumu yang juga pengerusi parti negeri berkata pelaksanaan program atau projek pembangunan akan dibuat mengikut citarasa dan kehendak penduduk setempat.

"Azam saya yang saya nak bawa jika kerajaan Pakatan Harapan berjaya menubuhkan kerajaan ialah berkenaan rumah mampu milik," kata Ahmad Faizal yang ditemui selepas menghadiri beberapa program di Gugusan Manjoi sempena kempen Pilihan Raya Ke-14.

Ahmad Faizal juga turut bertanding DUN Chenderiang.

Pada PRU13, penyandang Ahmad Husni telah menewaskan Siti Aishah Shaik Ismail (PKR) dengan majoriti 9,325 undi.

Pilihan raya kali ini akan menyaksikan Ahmad Husni berdepan dengan Ahmad Faizal dan calon PAS Nordin Hassan.