MIC mahu semua ketua bahagian dan cawangan parti itu di Selangor menyokong penuh calon Barisan Nasional (BN) yang akan dipilih untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Naib Presiden MIC Tan Sri S.A. Vigneswaran berkata beliau mahu ketua bahagian parti berkenaan di Selangor akur dan menerima sepenuhnya calon yang diputuskan kepimpinan tertinggi BN.

"Saya tidak mahu nanti pelbagai isu sengaja ditimbulkan sehingga menggugat peluang calon untuk menang.

“Saya melihat BN Selangor di bawah kepimpinan Tan Sri Noh Omar berjaya mengembalikan sokongan rakyat terutama kaum India dan saya yakin BN akan kembali menjadi kerajaan di Selangor," katanya yang juga merupakan Yang Dipertua Dewan Negara.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Ramah Mesra Yang Dipertua Dewan Negara Bersama Pemimpin-Pemimpin Masyarakat dan Sambutan Deepavali di sini hari ini, yang dihadiri kira-kira 500 orang.

Vigneswaran berkata MIC kini sedang melakukan persiapan rapi dan telah mengenal pasti muka-muka baharu untuk dijadikan calon pada PRU akan datang, dan akan membawa perkara berkenaan kepada Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak, untuk diputuskan.

Sementara itu mengulas mengenai majlis berkenaan, Vigneswaran berkata kehadiran pemimpin tempatan dan orang ramai berbilang bangsa menunjukkan Malaysia merupakan sebuah negara majmuk yang aman dan harmoni.

"Saya menyeru rakyat agar kekal hormat-menghormati dan jangan mencetuskan isu perkauman," katanya.

-- BERNAMA