DI tengah bandar Kota Bharu, Kelantan kelihatan susuk tubuh seorang warga emas di kaki lima sebuah bank komersial memerhatikan gelagat kerancakan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang bakal menjelang pada 9 Mei nanti.

Berusia 68 tahun, warga emas itu merupakan penunggu setia kaki lima sebuah bank komersial, memerhatikan gelagat kerancakan parti-parti politik berpesta.

Si warga emas merupakan gelandangan yang menumpang teduh di sebuah gerai kayu belakang bank berkenaan sejak hampir dua tahun lalu.

Kami mendekati warga emas itu sekitar jam 12 tengah malam tadi untuk bertanya khabar.

Nama penuhnya Rahimah Mat Aripin namun dikenali sebagai Che Bidah dan tidak mampu untuk menyewa rumah atau bilik kerana keadaan dirinya yang terpaksa menggunakan tongkat untuk berjalan.

Menceritakan kisahnya, Che Bidah sebelum ini tinggal di sebuah bilik sewa tiga tingkat yang berharga RM150 sebulan, namun selepas mengalami kecederaan kaki dia tidak lagi mampu memanjat tangga untuk ke bilik sewaannya.

Justeru, Che Bidah mengambil keputusan untuk bermalam di atas gerai belakang bank berkenaan.

Che Bidah

Berasal dari Rantau Panjang, Kelantan, dan pernah menetap di Pasir Mas sebelum mengambil keputusan berhijrah ke bandar Kota Bharu.

Pengalaman Che Bidah luas, dia pernah merantau jauh sebelum ini dan selepas kematian suaminya sejak tahun 2012, wanita cekal ini memilih cara hidup sebegini kerana tidak ingin menyusahkan anaknya.

Ketika diminta berkongsi hal peribadi termasuk keluarga dan sebagainya, beliau diam dan tidak mahu meneruskan perbualan.

Membahasakan dirinya sebagai “mok” Che Bidah tidak mahu menyusahkan sesiapa, biarlah hidupnya begini dengan menumpang mandi di belakang kedai makan, dan bermalan di atas tapak gerai.

“Mok selesa berada di sini tapi ada juga keinginan kalau ada yang sudi menumpang atau memberikan sebuah rumah yang boleh didiami bagi menghabiskan sisa hidup," katanya kepada Astro Awani, di sini malam tadi,

“Mok biasa malam tidur pukul 12 ke atas, ramai orang duk mintak duit dengan tok wakil nak upah gantung poster” katanya.

Beliau berkata sebelum ini berniaga kerepek di kaki lima bank ini, namun selepas mengalami kecederaan beliau tidak lagi berniaga.

Setiap malam apabila ingin tidur, beliau akan memegang tasbih dan cuba melelapkan mata tanpa menghiraukan apa jua keadaan sekeliling walaupun ada kes kecurian motosikal berlaku di depannya namun beliau pejamkan mata kerana tidak mahu diganggu dan diugut.