Sebahagian calon Barisan Nasional (BN) untuk pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang diumumkan di negeri ini menimbulkan ketidakpuasan hati dalam kalangan ahli dan rakyat sehingga berlakunya protes.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, perbalahan yang berlaku dalam pemilihan calon adalah perkara kecil dan biasa berlaku.

“Peringkat permulaan memang ada kurang setuju dan protes seperti ini memang kita sudah jangka, tetapi saya lihat akan tenang kembali

“Ini perkara biasa sejak dahulu lagi, tetapi apa yang berlaku dalam UMNO adalah perkara kecil jika dibandingkan dengan parti lain, contohnya PKR.

“Walaupun ada tidak setuju, kita masih boleh duduk semeja, dan walau ada perbezaan, kita boleh duduk bersama-sama,” katanya ketika hadir merasmikan Kolej Komuniti Dungun di sini, hari ini.

Hadir sama, calon kerusi Parlimen Dungun, Datuk Din Adam.

Menurutnya, keputusan dibuat oleh presiden parti adalah yang terbaik dan harus dihormati.

“Presiden telah pilih calon terbaik dan proses pencarian sudah lama.

“Saya percaya pemilihan calon ini adalah terbaik dan akan beri peranan lebih baik untuk Terengganu."