Pejabat Daerah Kecil Kiulu kini di peringkat pelaksanaan selepas kelulusan diberi oleh kerajaan negeri selepas diluluskan Kabinet pada Julai lepas.

Calon Dewan Undangan Negeri N.15 Kiulu yang juga merupakan Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata kertas cadangan yang diusulkan beliau telah diberi kelulusan kabinet bagi mewujudkan bangunan pejabat dan menambah pegawai yang mengkhususkan kepada pembangunan Kiulu.

Jelasnya selain mewujudkan struktur lengkap tersebut pada bulan yang sama beliau juga telah berjaya memuktamadkan pelan khusus pembangunan Kiulu bersama Institute for Development Studies (IDS).

"Saya telah membawa kepada kabinet iaitu cadangan untuk menaiktaraf Pejabat Daerah Kecil Kiulu.

"Kerajaan yang ada sekarang telah meluluskan untuk dilaksanakan, jadi mudah-mudahan dengan izin Tuhan dan sokongan rakyat kita akan melaksanakan penubuhan Pejabat Daerah Kecil ini dan kita akan lantik pegawai selepas ini.

"Seperkara lagi, saya telah pun meminta sebelum ini kepada pihak IDS tentang kertas kajian pelan pembangunan Pekan Kiulu dan memang sudah selesai dan hanya tinggal untuk dilaksanakan sahaja," Katanya yang ditemui selepas majlis Bertemu Jentera Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) di Kampung Tombongon, Kiulu pada Ahad.

Majlis hanya dihadiri seramai 30 orang ahli UPKO yang mewakili beberapa kampung di Kiulu.

Menyentuh soal pencalonannya, beliau berkata sudah tiba masanya beliau memberi lebih perhatian di kawasan tersebut kerana memandangkan beliau adalah anak jati Kiulu dan Presiden UPKO.

"Ini adalah kali pertama saya bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri dan secara kebetulan di kawasan saya sendiri di Kiulu.

"Ia juga bertujuan agar saya dapat meneruskan kesinambungan kerajaan yang ada sebelum ini dan supaya saya dapat berkhidmat sebaik mungkin dan mantap dan saya juga telah dilantik sebelum ini di dalam kerajaan negeri dan terpulang kepada pengundi untuk memilih.

"Apatah lagi saya ini presiden parti dan elok sangat lah saya bertanding dan saya serahkan kepada rakyat untuk memilih. Sekiranya saya dipilih oleh rakyat, saya yakin perkhidmatan saya di peringkat negeri akan lebih mantap dan untuk membangunkan Kiulu," katanya lagi.

Seramai 10887 pengundi bakal membuang undi di kerusi tersebut dan perlu memilih antara enam calon yang bertanding termasuk penyandang kerusi tersebut Datuk Joniston Bangkuai.

Selain Joniston dan Madius, empat calon lain adalah Andau Yasun @ Bruno dari Parti Cinta Sabah (PCS), Dr. Rosyln Gelunu @ Rozylyn dari Parti Liberal Demokratik (LDP), Dominic Andau (BEBAS) dan Jolianis Lampog (BEBAS).