Penilaian pengundi di Sabah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri itu berbeza berbanding Semenanjung kerana kekuatan parti bukan menjadi penilaian utama, kata Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisomuddin Bakar

Hisomuddin menjelaskan, tinjauan Ilham Centre setakat ini mendapati kekuatan calon menjadi penentu dalam PRN Sabah kali ini.

Beliau penilaian pengundi di Sabah berbeza berbanding Semenanjung kerana kekuatan parti bukan menjadi penilaian utama.

Pertembungan ramai calon menyebabkan pengundi lebih memberi perhatian kepada siapa yang bakal melaksanakan tugas dengan baik berbanding parti dan isu setempat.

"Saya boleh katakan hampir semua responden yang saya temui, mereka menyifatkan tumpuan hanyalah kepada calon.

"Mereka (pengundi) betul-betul berbahas mengenai siapa calon yang patut mereka angkat sebagai wakil mereka.

"Manakala isu setempat sebenarnya ada juga memainkan peranan tetapi sentimen itu agak tenggelam, PRN ini betul-betul pertarungan di antara calon, Radu di antara calon," katanya kepada Astro AWANI.

Hisomuddin menjelaskan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini menjadikan pengundi di Sabah lebih menilai siapa yang banyak memberi khidmat bakti.

"Pengundi menilai calon itu tanpa mengambil kira parti mana yang diwakili, penilaian calon itu dilihat kepada bagaimana beliau berkhidmat dan berbakti kepada penduduk setempat.

"Penilaian paling ampuh ialah sejauh mana menyumbang semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tempoh hari.

"Jadi merit diberi kredit kepada calon-calon yang berkhidmat kepada mereka biarpun calon Bebas," katanya lagi.

Sentimen pertimbangan calon melebihi parti ini merentasi seluruh negeri Sabah kecuali beberapa kerusi.

Jelas Hisomuddin, strategi kempen secara langsung kepada pengundi lebih memberi kesan berbanding ceramah.