Calon Parti Warisan Sabah Abdul Bahkrin Mohd Yusof tidak gentar untuk berdepan 'pemimpin otai' seperti Datuk Seri Salleh Tun Said pada pertembungan tiga penjuru di DUN Usukan.

Katanya, sejarah calon Wirawati Warisan, Isnaraissah Munirah Majilis menewaskan di kerusi Parlimen Kota Belud pada Pilihan Raya Umum ke-14 menjadi penyuntik semangat untuknya.

Malah, jelasnya, tidak mustahil untuk Warisan menewaskan Salleh untuk kali kedua di DUN Usukan.

"Faktanya mudah sahaja apabila pada Pilihan Raya Umum Ke-14, calon wirawati Warisan YB Munirah berjaya menewaskan Salleh di kerusi Parlimen Kota Belud.

"Saya yakin tidak mustahil kita boleh menewaskan Salleh untuk kali kedua di Usukan ini," katanya ketika ditemui Astro AWANI.

Selain itu, Abdul Bahkrin juga mempunyai perancangan jelas untuk membangunkan kawasan Usukan ini terutama membawa peluang pekerjaan kepada anak-anak muda di kampung itu.

Katanya, perkara itu bukan hanya untuk DUN Usukan sebaliknya kepimpinan kerajaan negeri Warisan juga jelas dengan hala tuju itu.