Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai menjadi medan penting untuk menguji tahap kesetiaan dalam gabungan Pakatan Harapan (PH).

Penganalisis politik Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sivamurugan Pandian berkata, PH telah menempatkan calon daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Kalau kita perhatikan PRK ini akan menguji tahap kesetiaan dalam parti gabungan PH kerana Perdana Menteri datang daripada Bersatu dan pada ketika ini timbul isu peralihan kuasa.

"Jadi Bersatu perlu menang bagi memastikan tidak timbul isu-isu seperti itu. Ia juga akan memberikan keyakinan kepada PH bahawa kerjasama mereka dalam gabungan diteruskan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin bahawa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) mungkin berlaku lebih cepat sekiranya calon Barisan Nasional (BN) memenangi PRK itu pada 16 November ini.

Sementara itu, Sivamurugan berkata, Mohamed Khalid mungkin berpendapat jika Bersatu kalah maka boleh menimbulkan masalah dalaman yang mengganggu kerjasama dalam gabungan tersebut sehingga mengakibatkan pembubaran Parlimen dilakukan lebih awal.

"Bagaimanapun, PH juga akan mengambil sikap berhati-hati memandangkan ini kali pertama mereka berkuasa selepas 60 tahun dan juga tidak mahu membawa kepada sejarah pembubaran lebih awal," katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, belum ada dalam sejarah politik negara pilihan raya umum (PRU) dilakukan kurang daripada tempoh dua tahun.

"PRU pernah berlaku seawal empat tahun namun tidak mustahil boleh berlaku kerana akhirnya Dr Mahathir yang akan membuat keputusan.

"Mengikut sejarah 14 kali pilihan raya (sebelum ini) belum ada lagi di bawah dua tahun. Saya juga tidak pasti lebih awal yang dimaksudkan itu merujuk kepada tiga atau empat tahun," katanya.