Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mencadangkan agar UMNO bertanding atas tiket nama sendiri pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis, dan bukannya Barisan Nasional (BN).

Hal itu dicadangkan memandangkan beliau berpendapat inilah masa paling sesuai untuk mengukur sejauh mana kemampuan UMNO di kawasan tersebut.

“UMNO perlu jadi produk baharu yang boleh dibeli, bukan produk yang basi. Begitu juga dengan BN, kena ada resipi baru untuk tarik sokongan rakyat, terutama orang muda.

“Mungkin kita boleh 'test market' di Sungai Kandis dan bertanding atas nama UMNO bukan BN. Setuju atau tidak?,” katanya dalam Wacana Sinar Harian kali-64 yang berjudul ‘Mampukah BN Bangkit Semula?’ hari ini.

Kerusi DUN Sungai Kandis kosong selepas penyandangnya, Allahyarham Mat Shuhaimi Shafiei meninggal dunia pada 2 Julai lalu akibat kanser limfoma.

Pada PRU 14 lalu, Mat Shuhaimi memenangi kerusi DUN Sungai Kandis selepas memperoleh 23,998 undi, menewaskan calon BN, Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518), calon Pas, Mohd Yusof Abdullah (7,573) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hanafiah Husin (76).