Hanya berbaki kurang 24 jam sebelum penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) N23 Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini dijalankan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah meminda beberapa prosedur operasi standard (SOP).

Antaranya adalah dengan membenarkan calon dan parti yang bertanding menjalankan aktiviti berkempen, ceramah, tinjauan atau walkabout dari rumah ke rumah.

Menurut Pengerusinya, Datuk Azhar Azizan Harun dalam sidang media pada Jumaat menjelaskan kelonggaran itu diberikan selaras dengan keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkaitan kelonggaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan pada 16 Jun.

“Bagi aktiviti ceramah politik, SPR membenarkan tidak lebih daripada 250 orang pada satu-satu masa dan tempat, tertakluk pada saiz kawasan serta terhad di premis tertutup sahaja.

“Aktiviti kempen dari rumah ke rumah pengundi dan walkabout pula, hanya tiga orang dibenarkan sama ada calon atau penyokong parti pada satu-satu masa dan tempat,” katanya.

Bagaimanapun jelasnya, calon tidak dibenarkan bersentuhan atau bersalaman dengan bakal pengundi sepanjang kempen atau ceramah diadakan. Sebaliknya perlu mengikut SOP normal baharu iaitu jarak satu meter serta merekodkan senarai rumah yang dikunjungi mereka.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Pusat Penamaan Calon di Dewan Utama Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pekan pada Jumaat.

Tambahnya, Penamaan calon PRK N24 DUN Chini hanya membenarkan calon, pencadang dan wakil calon sahaja memasuki Pusat Penamaan Calon yang dijadual bermula jam 9 pagi hingga 10 pagi esok, manakala penyokong hanya dibenarkan berada di luar kawasan pusat penamaan calon.

Pemantauan Astro AWANI mendapati, beberapa langkah keselamatan termasuk sanitasi dewan pusat penamaan telah dijalankan oleh pihak SPR dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM)., manakala anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut ditempatkan di sekitar kawasan itu.

Turut disediakan, khemah khas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi calon, pencadang atau wakil jika mengalami gejala demam dan tidak akan dibenarkan memasuki pusat penamaan calon.

Sehingga kini, SPR mengesahkan 10 borang pencalonan telah dijual bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) N23 DUN Chini.

Bagaimanapun hanya dua calon iaitu dari Barisan Nasional (BN) dan calon bebas telah mengumumkan akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) itu.