Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata tidak timbul isu kemerosotan undi terhadap calon Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Karim Bujang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis pada Sabtu.

Sebaliknya, kata Timbalan Presiden PKR itu, jumlah undi yang diterima Karim tidak jauh berbeza sewaktu beliau menentang Datuk Seri Anifah Aman pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang lalu.

"Saya kira Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan pasukannya telah melakukan usaha yang terbaik dalam tempoh 20 bulan lalu.

"Namun, oleh kerana isu legasi (Barisan Nasional) itu terlalu besar, mereka perlukan masa untuk meyakinkan rakyat Sabah bahawa masa depan Sabah dan rakyat Sabah adalah terletak kepada kerajaan pimpinan Warisan pada hari ini.

"Kita melihat, sokongan di Kimanis tidak banyak berubah daripada apa yang berlaku pada pilihan raya lalu, di mana calon yang sama yang mewakili Warisan mendapat undi hampir sama.

"Jadi tidak timbul (isu) kemerosotan undi," katanya ketika di temui media dalam program sumbangan buah limau sempena Tahun Baharu Cina di Pasar Pekan Ampang di sini hari ini.

BACA: Kimanis kekal di tangan BN, peroleh majoriti lebih besar

Karim yang menerima 10,677 undi tewas kepada Datuk Mohamad Alamin dari BN dengan majoriti 2,029 undi.

Pada PRU14, Karim yang tewas kepada Anifah hanya menerima 11,786 undi.

Bagaimanapun, PRK kali ini menyaksikan pertambahan majoriti yang diperoleh BN pada PRU14 lalu iaitu hanya 156 undi sahaja.

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi berkata, kerajaan pusat akan terus bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Sabah bagi merapatkan jurang antara bandar dan luar bandar.

"Oleh kerana ini adalah kawasan di luar bandar, kita perlukan masa untuk meyakinkan mereka bahawa usaha-usaha yang dijalankan ini adalah untuk merapatkan lagi jurang di antara bandar dan luar bandar.

"Usaha ini akan diteruskan oleh kerajaan pimpinan Warisan dengan kerjasama yang baik bersama Kerajaan Persekutuan," katanya.