MCA memutuskan untuk menggunakan logo MCA pada Pilihan Raya Kecil (PRK) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong yang bakal berlangsung pada 8 September depan namun tidak bercadang untuk meninggalkan Barisan Nasional (BN).

Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata keputusan tersebut dibuat Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat dan menerima sokongan padu dari peringkat akar umbi.

“Kita mendapat sokongan padu akar umbi untuk menggunakan logo MCA untuk PRK Balakong.

“Kita menilai kembali bagaimana untuk kita memantapkan lagi parti kita dan semua parti komponen bersetuju bahawa kita perlu kukuhkan parti masing-masing terlebih dahulu.

“Oleh itu, kita bersetuju untuk memberikan tumpuan pada pembaharuan setiap parti dan memberi sokongan untuk memantapkan pembangunan parti dahulu sebelum membawakan gabungan BN ke tahap yang lebih tinggi,” kata Liow dalam sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pusat di Wisma MCA hari ini.

Dalam penampilan pertamanya di hadapan media selepas kekalahan BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Tiong Lai berkata keputusan tersebut akan dimaklumkan kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam masa terdekat.

Tambah beliau, nama calon PRK Balakong telah disenarai pendek dan akan diumumkan Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong dalam beberapa hari lagi.

Beliau mengumumkan bahawa bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datin Paduka Chew Mei Fun dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa PRK Balakong.

Walaubagaimanapun, beliau berkata tindakan MCA tersebut tiada kaitan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang berdepan pelbagai tuduhan membabitkan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).


Tidak tinggalkan BN

Bekas Menteri Pengangkutan tersebut turut memberi jaminan bahawa MCA tidak akan meninggalkan BN.

“MCA tidak akan meninggalkan BN. Hal ini kerana MCA merupakan ahli pengasas bersama-sama UMNO dan MIC dalam membentuk gabungan BN.” Tegas beliau.


Tidak tanding pemilihan MCA

Sementara itu, Tiong Lai juga mengesahkan bahawa beliau tidak akan bertanding merebut jawatan presiden MCA dalam pemilihan parti yang akan berlangsung pada 4 November ini, sebaliknya, memberi laluan kepada Ka Siong.

PRK Balakong diadakan susulan kematian penyandangnya, Ng Tien Chee yang maut dalam kemalangan di kilometer 11.7 Lebuhraya Grand Saga pada 20 Julai lalu.