Veteran UMNO Tengku Razaleigh Tengku Mohd Hamzah, atau lebih mesra dikenali sebagai Ku Li, menganggap adalah lebih baik parti itu dipimpin oleh generasi yang baharu.

Dalam satu sidang media di kediaman beliau di Langgak Golf di sini hari ini, Ku Li berkata, generasi muda dalam parti harus lebih berani menawarkan diri bagi memastikan UMNO itu menjadi lebih progresif, dan generasi lama seperti beliau masih komited membantu mereka menguruskan parti itu.

“Jangan takut, tuhan itu sentiasa ada untuk membimbing, kita (generasi veteran) akan terus membantu kerana kita (UMNO) memerlukan pasukan baharu, yang lama-lama tidak payah lah, orang seperti saya tidak usahlah kalau boleh. Kerana (walaupun) masih ada permintaan untuk golongan seperti saya untuk terus menyumbang, saya hanya bersedia sehingga pada satu tahap.

“Kita memerlukan orang muda, kerana zaman dah berubah, ini era baharu, dimana kita gunakan sains dan teknologi, kita perlu mencipta peluang pekerjaan yang lebih banyak untuk orang muda dan sebagainya, untuk memastikan Malaysia sama taraf dengan negara-negara maju lain,” ujarnya lagi.


Ku Li berkata demikian sebagai respon kepada desakan beberapa pihak agar beliau menawarkan diri untuk bertanding bagi jawatan Presiden, menjelang pemilihan parti yang bakal berlangsung 30 Jun ini.

Sehingga kini, pemangku Presiden merangkap bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merupakan satu-satunya individu yang dikatakan akan bertanding untuk jawatan itu.

Di peringkat Timbalan Presiden pula, dua nama sudah mengesahkan untuk bertanding iaitu Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa dan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Ku Li, yang juga merupakan ahli Parlimen paling lama berkhidmat dalam sejarah Malaysia (1974-kini), berkata, pemimpin baharu UMNO perlu menanamkan dalam visi dan misi mereka bahawa parti itu lebih menghargai pendapat akar umbi.

“Saya rasa, pada masa akan datang, anda (pemimpin baharu) perlu menggalakkan perkembangan idea dari segi pembangunan sosial, politik dan ekonomi, biar idea-idea ini datang dari peringkat bawahan ke atasan,” katanya.

Ujar Ku Li lagi, sesiapa sahaja yang menawarkan diri mereka untuk memimpin parti itu, harus mempunyai perancangan yang rapi bagaimana untuk membawa keluar UMNO dari kemelut defisit kepercayaan dalam kalangan rakyat.

Ku Li juga bersikap positif bahawa UMNO akan terus menjadi kuasa dominan dalam politik negara ini, memandangkan parti itu merupakan parti tunggal yang menguasai 54 kerusi parlimen.

“Sehingga hari ini UMNO masih lagi merupakan kuasa yang kuat, kerana kami mempunyai 54 ahli Parlimen, dan tidak ada parti lain yang mampu menandingi fakta itu. Sebab itu kalau boleh kepimpinan baharu harus dipilih oleh ahli UMNO. Bukan ditentukan saya atau sesiapa sahaja, tetapi ia harus mendapat persetujuan semua pihak,” katanya lagi.