Pakatan Rakyat (PR) dinasihat tidak menderhaka dan akur kepada arahan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengenai permintaan lebih dua nama calon Menteri Besar Selangor.

Setiausaha UMNO Selangor, Datuk Johan Abdul Aziz menekankan, PR juga diminta segera menyelesai pertikaian dalaman antara parti mengenai kemelut berkenaan.

"Sebagai Kerajaan yang diberi mandat, PR seharusnya memikirkan soal rakyat berbanding kepentingan mereka sendiri.

"Sultan Selangor betul. Mereka ada tiga parti, PKR, DAP, PAS, hantar dua setiap satu , jadi Tuanku ada pilihan untuk pilih.

"Saya tengok mereka cakap berbalik-balik. Saya kelaskan mereka menderhaka. Bagi kami pembangkang, kami akan setia dan akur apa sahaja titah Tuanku," jelasnya kepada Astro AWANI.

Johan mengulas kemelut Menteri Besar Selangor yang berlanjutan sejak Januari lalu dan sehingga kini masih gagal diselesaikan.

Johan pada masa sama berpendapat, kemelut Selangor terus menambah masalah kepada rakyat negeri itu.

"Sudah pastinya ia akan susahkan rakyat Selangor dalam isu ini. Kita ada kemelut air, denggi yang meningkat 300 peratus.

"Masalah ini yang patut kerajaan Selangor fikirkan. Kita berdepan isu air. Ini perkara pokok yang menyusahkan rakyat. Mana janji kita kepada rakyat, baik BN, PR pun ada manifesto mereka sendiri," ujarnya.