SEBAHAGIAN besar netizen yang menyokong Pakatan Harapan (PH) dahulu, kini meluahkan pandangan mereka dalam media sosial kononnya sokongan rakyat kepada PH akan meleset pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kelak.

Malah, sesetengah pemimpin-pemimpin PH termasuk penasihat umum DAP dan Bersatu juga berpendapat bahawa PH akan kalah sekiranya PRU diadakan dalam masa yang terdekat.

Reaksi rakyat juga umumnya menunjukkan rata-rata mereka terutamanya kaum India merasa resah dan keluh malah menzahirkan perasaan kesal memilih PH menggantikan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada PRU14.

Mereka kesal dan kecewa kerana masih terus tertekan dengan pelbagai masalah kehidupan terutamanya isu kos sara hidup dan pengangguran.

Mengikut pandangan mereka, masalah peningkatan kos sara hidup kini lebih teruk berbanding zaman pentadbiran kerajaan BN.

Cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang didakwa oleh PH sebagai punca kenaikan harga barang kini telah dimansuhkan. Namun, cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang diperkenalkan semula oleh kerajaan PH didapati gagal mengatasi masalah kenaikan harga barang sebaliknya meningkatkan harga barang, terutamanya makanan dan keperluan asas.

Memandangkan kerajaan PH terbukti kurang upaya mengatasi masalah rakyat, malah sering tersadung dalam langkah-langkah yang diambil untuk mengurus isu-isu yang timbul dalam negara, maka kebanyakan pertubuhan-pertubuhan sukarela dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ghairah menyokong dan mengangkat PH sebagai kerajaan mengantikan BN turut menyesal dan kecewa malah mengutuk PH.

Antaranya, bekas Pengerusi Bersih, Datuk S. Ambiga, Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot), Persatuan Pemandu Teksi dan lain-lain NGO yang didapati saban hari dilaporkan mengutuk dasar-dasar kerajaan PH.

Dalam pada itu, masyarakat India yang menyokong hebat PH pada PRU14 kini mula menyampah kepada kerajaan PH.

Mereka tidak puas hati kerana kerajaan PH memperkenalkan mata pelajaran seni khat di sekolah rendah Tamil.

Mereka juga marah kerana kerajaan PH membiarkan pendakwah, Dr Zakir Naik yang dikatakan menghina agama Hindu dalam ucapannya malah menyoal kesetiaan mereka kepada negara.

Mereka juga rasa terguris hati di atas penggunaan istilah yang dikatakan merujuk kepada bangsa India disebut oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini dalam isu Lynas.

Kejadian-kejadian yang berlaku akhir-akhir ini menyebabkan sebahagian besar masyarakat India menyampah terhadap PH.

Persoalanya, apakah PH mampu menang pada PRU15 kelak dalam suasana politik sedemikian?

Apakah PH boleh menang tanpa sokongan sebahagian besar orang India dan sebahagian kecil orang Melayu?

Landskap politik

Umum juga mengetahui landskap politik negara telah berubah sejak PRU14.

BN yang dianggotai oleh 14 parti komponan kini tinggal tiga parti sahaja yang mewakili kaum terbesar di Semenanjung iaitu Melayu, Cina dan India.

Namun, UMNO yang diterajui Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kini mula diterima baik malah mendapat sokongan sebahagian besar orang Melayu.

MIC yang kehilangan sokongan majoriti masyarakat India sejak PRU12, kini didapati bangkit semula.

Kepimpinan Tan Sri Senator S.Vigneswaran didapati bukan sahaja berjaya memulih kekuatan MIC malah semakin menarik dan meraih sokongan kaum India kepada MIC.

Manakala MCA yang ditolak oleh kaum Cina dalam PRU13 dan PRU14 kini mula kelihatan mendapat tanda-tanda kaum Cina beransur-ansur kembali menyokong MCA di bawah kepimpinan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong kerana dasar-dasar PH yang tidak memuaskan hati mereka.

Selain itu, Pas, sebuah parti yang bersandarkan kepada ideologi Islam yang sering bertentangan dengan UMNO dalam politik Malaysia kini sedia berkerjasama dengan UMNO dan MIC menghadapi PRU15 demi kepentingan ummah.

Kerjasama politik Pas dengan UMNO pula disokong lain-lain parti Melayu saperti Ikatan dan Berjasa.

Malah, MIC yang disertai lebih 400,000 ahli juga menyokong muafakat UMNO-Pas dalam usaha menentang PH.

Kebangkitan semangat penyatuan orang Melayu yang berkobar-kobar di seluruh negara dijangka menukar corak politik negara terutamanya memberi impak yang signifikan kepada keputusan PRU15 nanti.

Langkah muafakat UMNO-Pas dijangka meraih hampir 70 peratus sokongan pengundi Melayu dalam agenda menolak PH.

Malah, sebahagian besar pengundi muda yang menyokong PH pada PRU14 kini merasa kecewa dan menolak PH kerana janji-janji PH pada PRU14 yang tidak dipenuhi terutamanya janji-janji untuk menghapuskan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), tol selain mewujudkan satu juta peluang pekerjaan baru dan menambah bantuan sara hidup bagi golongan belia.

Mereka juga dilaporkan tidak menerima alasan dan dakwaan PH kononnya janji-janji PH tidak dapat ditunaikan kerana duit kerajaan untuk melaksanakan janji-janji tidak mencukup kerana duit kerajaan telah dilesapkan oleh kerajaan sebelumnya (BN).

Gabungan BN-Pas yang disertai MIC dan MCA dengan sokongan daripada parti-parti politik yang mewakili bumiputra Islam di Sabah dan Sarawak mampu memenangi 140 kerusi Parlimen pada PRU15 termasuk 109 kawasan Parlimen yang mempunyai majoriti pengundi Melayu di Semenanjung.

BN pernah menang dengan jumlah itu semasa PRU12 pada tahun 2008 apabila menghadapi gelombang Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) yang menyebabkan sokongan kaum India meleset kepada BN.

Dengan latar belakang politik semasa ini, tidaklah keterlaluan sekiranya dikatakan bahawa gelombang 'tsunami Melayu' akan melanda pada PRU15.

Kebangkitan dan penyatuan orang Melayu pada kali ini yang terdiri daripada hampir 65 peratus penduduk untuk membela dan mempertahankan kuasa politik, iaitu kuasa yang mereka warisi sejak turun temurun dijangka menimbulkan suasana politik sukar bagi PH mempertahankan Putrajaya.

Apapun percaturan dan pergolakan politik semasa, kaum India percaya muafakat UMNO-Pas mampu mencorak langkah ke arah perpaduan ummah dan negara, malah membantu menstabilkan politik dan ekonomi negara yang akan melestarikan kesejahteraan rakyat Malaysia pelbagai kaum.



* Datuk M. Periasamy merupakan seorang penganalisis politik, budaya dan tamadun India

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI