Kerusi Parlimen Indera Mahkota menjadi antara lokasi yang ditunggu-tunggu pemerhati politik dan masyarakat setempat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ini.

Mana tidaknya, dua seteru lama yang mengundang kontroversi telah memilih Indera Mahkota sebagai medan pertarungan mereka kali ini.

Walaupun merupakan kerusi disandang PKR, penganalisis melihat pertembungan tiga penjuru Parlimen Indera Mahkota juga satu persaingan sengit buat Pas dan Barisan Nasional (BN).

Calon Pas, ketua penerangannya, Nasrudin Hassan Tantawi, anak tempatan Indera Mahkota, memilih untuk bertanding di kawasan tersebut, meninggalkan kerusi Parlimen Temerloh yang dimenanginya pada PRU13.

Beliau dicabar Setiausaha Agung Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah, mewakili PKR pada PRU14 ini, yang pernah menyandang kerusi Parlimen Temerloh sebelum kalah kepada Nasrudin pada PRU13.

Antara dua calon ini, Saifuddin pada awalnya dilihat mempunyai kelebihan kerana bertanding di kerusi disandang Pengerusi PKR Pahang, Datuk Fauzi Abd Rahman.

Pada PRU13, Fauzi memenangi Indera Mahkota dengan majoriti 7,523 undi, mengalahkan calon BN, Ketua UMNO Bahagian Kuantan, Datuk Seri Wan Adnan Wan Mamat.

Pada PRU14, Fauzi bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Lembing sementara Wan Adnan tidak bertanding.

Wajah baru

Dr Johan dipeluk seorang penduduk yang terharu dengan kunjungan beliau pada Program Titik Sentuhan Rakyat Ziarah Kasih Jabatan Kemajuan Masyarakat di Taman Bukit Sekilau, Kuantan, 7 Mei, 2018. --fotoBERNAMA

Sementara itu, BN mencuba nasib dengan meletakkan calon wajah baru, Datuk Dr Johan Mat Sah, yang lebih mesra dengan panggilan nama Doktor Rakyat di kalangan masyarakat setempat.

Berkhidmat selama lebih 20 tahun di Pahang, beliau dilihat mempunyai pakej yang tepat untuk mengambil hati pengundi di kawasan tersebut.

Bagi sesetengah pihak, kehadiran doktor yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) UMNO Indera Mahkota itu seakan tidak akan memberi sebarang impak, malah dilihat sebagai seorang calon yang boleh dilupakan.

Mereka berpendapat, pertarungan sebenar adalah di antara Pas dan PKR.

Namun, hasil pemerhatian menjelang hari pengundian mendapati, Dr Johan masih mampu mempengaruhi keputusan Parlimen Indera Mahkota andainya percaturan dijalankan dengan baik.

Menurut sumber, PKR memenangi kerusi tersebut pada PRU13 hasil kerjasamanya dengan Pas, dalam Pakatan Rakyat, yang mempunyai pengaruh kuat di kerusi DUN Beserah yang disandang Adnansura Rabu, manakala PKR menunjukkan taring di DUN Semambu dengan wakil rakyat muda Lee Chean Chung.

Namun, pertembungan tiga penjuru di kerusi Parlimen Indera Mahkota mungkin membawa tuah buat BN yang mahu cuba mendapatkan semula kerusi tersebut.

Nasrudin bertemu seorang pengundi di sebuah taman perumahan di Indera Mahkota 3. Foto Facebook Nasrudin Hassan At Tantawi

Nasrudin dan Dr Johan masing-masing anak tempatan, manakala Saifuddin dianggap calon payung terjun yang tidak begitu dikenali masyarakat setempat, terutamanya pengundi Melayu yang kebanyakannya tinggal di kampung dan bekerja sebagai nelayan.

Nasrudin pula dilihat telah lama tidak pulang ke kampung halaman dan mencuba nasib di kawasan itu kerana dilihat tidak mampu mempertahankan Temerloh.

Sementara Dr Johan merupakan satu-satunya calon yang telah lama tinggal di kawasan Indera Mahkota dan berinteraksi dengan masyarakat di sana.

Taraf pendidikannya yang tinggi dan sikap professional yang ditonjolkan mungkin boleh membantu beliau memenangi hati pengundi atas pagar dan mereka yang tinggal di kawasan bandar di Parlimen tersebut.

Persoalannya adalah sama ada kerja-kerja amal beliau yang telah dijalankan selama ini untuk golongan memerlukan, seperti pemeriksaan kesihatan percuma, rawatan dan lawatan rumah ke rumah, bakal membuahkan hasil pada 9 Mei nanti?

Pengundi Melayu jadi penentu

Saifuddin dan isteri, Datin Norlin Shamsul Bahri, bertemu pengundi semasa mengadakan Walkabout di Pasar Malam sekitar UTC Kuantan. - Foto Facebook Saifuddin Abdullah

Indera Mahkota, rata-rata mempunyai 51,515 atau 67% pengundi Melayu, 20,792 (27%) pengundi Cina, 4,396 (6%) pengundi India dan selebihnya, bumiputera Sabah dan Sarawak seramai 329 orang.

Dalam pertembungan di antara parti politik yang boleh memecahkan undi masyarakat Melayu, undi dari komuniti Cina dijangka mampu memberi kelebihan kepada calon yang dipilih.

Dalam konteks ini, PKR mempunyai kelebihan berbanding Pas dan BN.

Dalam temubual bersama Astro AWANI, Dr Johan menyatakan keyakinannya untuk memenangi kerusi tersebut.

“Bagi saya, tiada beza sama ada ia Nasrudin atau Saifuddin, siapa-siapa sahaja, saya akan lawan dan saya akan terima lawan itu dan cuba untuk menang. Malah, saya bukan setakat cuba, namun istilah yang kita ingin tekankan buat BN pada kali ini adalah, perang mesti menang,” katanya.

Nasrudin pula apabila ditanya mengenai seterunya Saifuddin, mengucapkan ‘ahlan wa sahlan’ dan berharap agar persaingan tiga penjuru di Indera Mahkota akan berlansung sebagai satu demokrasi.

Mengakui bahawa pertembungan mereka akan mewarnakan pilihan raya kali ini, Nasrudin berkata pertembungan siri kedua ini melihat mereka berganding sebagai ‘heavyweight’ dengan cabaran yang serupa.

Saifuddin dalam siri ceramahnya di Indera Mahkota pula sebelum ini berkata, keputusan untuk bertanding di Indera Mahkota adalah kerana wujud kerjasama antara PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah).

“Kerusi Temerloh diberikan kepada Amanah, dan PKR masih mahu saya bertanding, jadi ini adalah antara kawasan yang masih ada dan mereka meletakkan saya di sini,” katanya.