Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau, Khairy Jamaluddin mendakwa kerajaan Pakatan Harapan gagal menjaga perpaduan negara dalam kalangan rakyat.

Menurut beliau, perpaduan negara menjadi teruk di bawah pimpinan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy.

“Hari ini semua dah jadi masalah bangsa. Dulu tidak banyak orang kata pada agama dan bangsa kita.

“Seorang pegawai bomba meninggal dunia jadi masalah etnik, jadi masalah kaum kerana Pakatan Harapan tak berjaya jaga perpaduan dalam kalangan rakyat,” katanya.

Khairy berkata demikian semasa menyampaikan ceramah pada Majlis Mesra Bersama Pemimpin di Bilik Gerakan Pekan Sagga, Rantau pada Sabtu.

Tambahnya, keadaan negara pada hari ini dilihat semakin tidak stabil.

“Perpaduan negara dalam keadaan yang baik? Melayu, India dan Cina hari ini adakah dalam keadaan perpaduan yang baik? Atau keadaan semakin teruk selepas Pilihan Raya Umum ke-14?

“Dulu kata UMNO rasis, tapi adakah kita pernah dengar masalah seperti hari ini?

“Waytha Moorthy lagi teruk jaga perpaduan, lagi teruk perpaduan di bawah dia,” katanya.

Jelas Khairy, Waytha Moorthy sering mencetuskan kemarahan baik dalam kalangan bangsa Melayu, Cina dan India sendiri.

Katanya, keadaan itu sekali gus menyebabkan tiada siapa yang meyakini beliau untuk membawa perpaduan dalam kalangan rakyat.