KUALA LUMPUR:Bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menggambarkan perjuangan selama satu minggu untuk membentuk sebuah kerajaan baru telah berjaya.

Dalam satu kenyataan yang dimuat naik ke Facebook, beliau mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri kelapan Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas bertungkus-lumus mendapat sokongan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat.

“Perjuangan ini melalui saat-saat getirnya namun akhirnya kita mendapat dukungan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat untuk memilih YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Haji Mohd Yassin sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-8,” kata Azmin dalam kenyataan itu.

Tambahnya, “Kami bertekad untuk membentuk sebuah kerajaan yang berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

 

“Kami komited terhadap agenda nasional demi memacu kebangkitan ekonomi, menjamin kemakmuran bersama, memelihara keselamatan dan kedaulatan negara, memperkukuh perpaduan rakyat serta menjayakan reformasi institusi.

“Saya mengucapkan tahniah kepada YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin atas mandat yang diberi kepada beliau sebagai Perdana Menteri dan membentuk sebuah kerajaan yang baru. Beliau adalah seorang pemimpin yang berwibawa, berpengalaman serta berintegriti.”
[LAPOR LANGSUNG] MY2020 Muhyiddin PM-8



Sementara itu, Tun Dr Mahathir Mohamad pada pagi Ahad menganggap Azmin mempunyai agendanya sendiri yang menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang.

“Azmin ada agenda sendiri tetapi saya rasa lebih dikhianati oleh Muhyiddin,” katanya pada sidang media di Yayasan Al Bukhary.