Tiga belas calon bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN), itulah pertaruhan berani Barisan Nasional (BN) negeri Perak bagi kaum Hawa untuk menerajui kawasan masing-masing, sekali gus menunjukkan tingginya darjat wanita di negeri ini.

Astro AWANI mendekati salah seorang 'wanita besi' yang sering dilihat bersuara lantang di DUN Perak setiap kali berpeluang, Salbiah Mohamad, calon BN di DUN Temengor, di bawah Parlimen Gerik.

Beliau bukan calang-calang orangnya kerana selain memegang tampuk kepimpinan sebagai Ketua Puteri UMNO Perak, beliau juga diberi mandat sebagai Yang Dipertua Dewan Belia Perak.

Begitupun, Salbiah menghargai peluang yang diberikan kepadanya dan yakin wanita perlu ada dalam pentadbiran kerajaan supaya suara mereka didengari sekali gus mengurangkan diskriminasi terhadap golongan itu.

"Menjadi tanggungjawab saya sebagai salah seorang calon wanita, untuk sama-sama memperjuangkan hak wanita. Macam-macam perkara boleh dibuat dari segi pekerjaan, ekonomi, dari segi hak-haknya.

"Pelbagai perkara melibatkan wanita boleh kita angkat sama-sama, demi sebuah perjuangan membangunkan negara. Banyak potensi dan keupayaan wanita boleh diketengahkan," katanya.

Menurut Salbiah, sehingga hari ini, beliau tidak menafikan masih terdapat kekangan dalam pasaran pekerjaan melibatkan wanita.

Sehubungan itu, katanya, wakil rakyat wanita perlu ada bagi menyalurkan suara golongan wanita lain agar didengari pemimpin tertinggi negara.

Dalam masa sama, beliau berharap tiada pihak cuba mengeksploitasi wanita bagi mendapatkan sesuatu demi kepentingan mereka.

"Wanita sepatutnya dibenarkan duduk bersama-sama membangunkan negara, bukannya dipergunakan untuk tujuan atau kepentingan sesuatu pihak.

"Dalam kerajaan, dalam usaha mengangkat wanita, kita juga mahu bekerjasama dalam membuat dasar.

"Rasa tidak percaya kepada wanita masih wujud, maka persepsi itu harus dibuang segera.

"Di Perak sendiri, kita ada 13 calon wanita yang jelas membuktikan bahawa selama ini kita bukan saja bercakap, malah kita melaksanakan apa yang kita katakan," ujarnya.

Tambah beliau, keyakinan Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dengan mempertaruhkan ramai calon wanita memberi petunjuk bahawa beliau mengiktiraf peranan wanita dalam membangunkan negeri.