Pimpinan PAS Negeri Kedah mengadakan satu pertemuan di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut di sini, hari ini, melibatkan kesemua 15 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti tersebut.

Pertemuan ini dilihat menyusuli kenyataan Pesuruhjaya PAS Kedah Ahmad Yahaya pada Rabu, yang yakin parti itu akan mengambil alih pentadbiran negeri daripada kerajaan Pakatan Harapan (PH) campur Bersatu ketika ini, yang dipimpin Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Antara yang turut kelihatan adalah Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan, Naib Presiden PAS Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan ADUN Barisan Nasional (BN) Bandar Baharu Datuk Norsabrina Mohd Noor.

Juga dilihat hadir di kompleks tersebut adalah ADUN BN Sungai Tiang Datuk Suraya Yaacob dan Ketua Dewan Ulamak PAS Kedah Syeikh Muhamad Rodi Abdul Rahman.

Terdahulu, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Awang Hashim menerusi akaun Facebook miliknya memuat naik foto pertemuan antara Takiyuddin, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), bersama Ketua Polis Kedah, Datuk Zainuddin Yaacob pada Sabtu.

Pertemuan yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah itu turut melibatkan Pesuruhjaya PAS negeri, Ahmad Yahaya, Ketua Pembangkang DUN Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, serta Ahli Parlimen Pendang itu.

Dalam kenyataan yang dibuat pada Rabu itu, Ahmad turut menyifatkan kepimpinan Mukhriz berada dalam keadaan yang amat lemah.

Ini kerana, katanya, daripada enam Adun Bersatu Kedah, tidak sampai separuh yang berpihak kepadanya memandangkan banyak kelemahan yang gagal diperbaiki Timbalan Presiden Bersatu itu.