PARTI-parti politik yang bergabung dalam Pakatan Harapan (PH) kini dilanda dengan pelbagai masalah dalaman yang menimbulkan kemerosotan keyakinan rakyat terhadap PH.

Kaum India yang hebat menyokong PH pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pula kecewa atas kegagalan PH menepati janji-janji yang diberikan kepada mereka.

Malah, kaum India turut melahirkan perasaan kecewa dan ketidakpuasan hati dengan kerajaan PH kerana didakwa tidak langsung mengambil kira sentimen mereka dalam menggubal dasar dan polisi kerajaan termasuk penyediaan Belanjawan 2020 yang dibentangkan baru-baru ini.

Pada masa yang sama, sebahagian besar kaum India juga kesal atas tindakan mereka menolak MIC sekali gus BN pada PRU14 kerana terpengaruh dengan hujah-hujah dan janji-janji PH.

Namun, MIC yang kini berusia 73 tahun dan hampir rebah pada PRU14 lepas bangkit semula dengan suntikan kepimpinan baharu yang lebih berwawasan dan berfikiran strategik.

Presiden baru MIC, Tan Sri S A Vigneswaran yang menyelami denyut hati kaum India sedang mengambil langkah-langkah untuk memulihkan kekuatan MIC usaha mengembalikan kecemerlangan dan kegemilangan yang dicapai oleh parti itu pada tahun 80-an.

Kepimpinan baru MIC kini bersungguh-sungguh dalam langkah yang mampu menghidupkan semula semangat perjuangan parti itu, malah menentukan hala tuju MIC ke arah kecemerlangan dengan strategi-strategi politik terbaik dalam persekitaran politik negara yang semakin kelam-kabut dan mencabar.


Tindakan strategik

Antara tindakan strategik yang diambil kepimpinan baharu MIC adalah menetapkan pendiriannya untuk terus bersama dengan Barisan Nasional (BN) apabila beberapa parti komponan yang lain meninggalkan gagasan itu selepas BN kehilangan kuasa.

Selain itu, MIC juga mengambil satu tindakan strategik yang dijangka menguntungkan MIC sekali gus BN dengan menjalinkan hubungan kerjasama politik dengan Pas, iaitu parti yang menentang MIC sejak PRU yang pertama.

Tindakan-tindakan drastik dan dinamik yang diambil oleh Vigneswaran selaku Presiden baharu MIC bukan sahaja meraih sokongan hebat daripada ahli- ahli parti itu sendiri malah daripada sebahagian besar komuniti India.

Meskipun MIC merupakan sebuah parti politik yang ditubuhkan untuk memainkan peranan seperti parti-parti lain, tetapi ia turut memainkan peranan yang lebih penting iaitu membangunkan kaum India dalam bidang ekonomi dan sosial terutamanya dalam bidang pendidikan.

Kepimpinan MIC percaya bahawa pendidikan adalah kunci kepada pembangunan malah mampu memacu kedudukan sosio-ekonomi kaum India kepada tahap yang lebih baik.

Atas sebab itu, MIC berusaha menubuhkan beberapa institusi pendidikan dengan daya usaha sendiri dalam membantu pelajar kaum India supaya mendapat akses di menara gading malahan latihan kemahiran.

Antara institusi yang ditubuhkan oleh MIC untuk memastikan pelajar-pelajar yang tidak berjaya atau mampu memasuki institusi tinggi awam adalah Institut Perubatan, Sains dan Teknologi Asia (AIMST), Technical and Further Education (TAFE) dan Pembangunan Pendidikan Maju (MIED).

Sejak MIED ditubuhkan, hampir RM154 juta disediakan sebagai pinjaman pendidikan kepada pelajar-pelajar India yang terdiri daripada golongan B40.

Hampir 11,271 pelajar daripada kumpulan B40 mendapat manfaat daripada pinjaman yang disediakan MIC.

Selain itu, seramai 44,000 pelajar memperolehi kelulusan kemahiran daripada kolej TAFE yang diurus tadbir MIC.

Antara tahun 1984 sehingga 2018, MIED telah menyediakan lebih RM153 juta sebagai bantuan kewangan kepada pelajar-pelajar India.

Meskipun MIC tidak lagi berkuasa atau menyertai Kerajaan Persekutuan, parti ini terus menyediakan bantuan kewangan kepada pelajar-pelajar India yang kurang mampu dan memerlukan bantuan.

Sebagai contoh, pada 2019, biasiswa berjumlah lebih RM1 juta disediakan untuk 105 pelajar dan pinjaman pendidikan sebanyak lebih RM2 juta kepada 200 pelajar.

Biasiswa dan pinjaman pendidikan kepada pelajar-pelajar daripada golongan B40 itu adalah untuk mengikuti pendidikan dalam bidang perubatan, pergigian, undang-undang, kejuruteraan, farmasi, perakaunan, pengajian perniagaan, aeroangkasa dan lain-lain.

MIC juga telah melahirkan hampir 45,000 pelajar India dalam bidang kemahiran selain usaha mendidik dan memperkasakan golongan pelajar dalam bidang pendidikan, kemahiran dan keusahawanan yang dibiayai MIC.

Malah, jumlah bantuan kewangan yang disediakan MIC mengatasi bantuan kewangan yang disediakan oleh kerajaan PH.

Dalam pada itu, masyarakat India kini menyambut baik malah menyokong pendirian MIC dalam isu-isu kaum India khususnya isu yang melibatkan Zakir Naik, seorang pendakwah bebas yang didakwa menghina agama Hindu, kaum India selain 12 tahanan orang India di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas ) 2012 (SOSMA) yang dituduh mempunyai hubungan dengan LTTE, satu pertubuhan yang bertapak di Sri Lanka dan didakwa sebagai pertubuhan pengganas.

Masyarakat India, tanpa mengira kefahaman dan perbezaan politik juga menyambut baik langkah MIC dalam menyediakan peguam daripada Biro Guaman MIC untuk mewakili individu yang ditahan di bawah SOSMA.

Tindakan Vigneswaran yang menyediakan peguam daripada MIC semata-mata atas prinsip perikemanusiaan itu bukan sahaja mendapat sokongan dan sanjungan tinggi daripada komuniti India merentasi fahaman politik malah meraih sokongan kepada MIC.

Situasi semasa yang dilakukan MIC ini menjadikan sokongan kaum India terhadap PH semakin ketara merosot, manakala sokongan mereka terhadap MIC, terutamanya kepada kepimpinan baru MIC semakin meningkat.

Pola kecenderungan politik semasa di kalangan masyarakat India dijangka bukan sahaja membantu MIC mencapai kecemerlangan dan kegemilangan malah membantu BN menawan semula Putrajaya dalam meraih undi kaum itu pada PRU akan datang.



* Datuk M. Periasamy merupakan seorang penganalisis politik, budaya dan tamadun India

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI