Suara hati orang muda seperti penekanan dalam bidang pendidikan, telekomunikasi dan sukan, antara fokus di Parlimen Kimanis.

Pandangan dan idea belia perlu dijadikan platform bagi calon Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) - Warisan dalam merangka pelan masa depan di Parlimen itu.

Menurut Mohd Haziq Wazini Saidil, 20 tahun, dia tidak mahu segala yang dijanjikan oleh parti politik hanya sekadar manifesto setiap kali tiba pilihan raya.

“Jadi sekarang ini tengok kita boleh nampak bandar Bongawan (bawah Parlimen Kimanis) macam mana.

“Pembangunan sekarang ini kita masih boleh nampak bangunan lama, mungkin dari segi pembangunan perlu diperbaharui, jalan raya ke kawasan kampung-kampung dan jaringan komunikasi,” katanya kepada Astro AWANI di sini, hari ini.

Bagi Mohd Sauffri Ag Ferreri, 25 tahun, pembangunan di Semenanjung dan Sabah perlu seimbang agak rakyat di negeri ini tidak ketinggalan.

“Mereka (wakil rakyat) perlu (sediakan) aktiviti-aktiviti contoh sukan dan pembangunan ICT (teknologi komunikasi maklumat) untuk belia.

“Mereka perlu tahu sebab mungkin kami (rakyat) di sini, kalau mahu cakap mundur, tidak lah mundur sebaliknya rakyat perlukan pembaharuan.

“Contohnya, tempat-tempat yang ada di Semenanjung sepatutnya kena ada juga di sini. Apa yang ada di Semenanjung, tetapi tiada di Sabah,” ujarnya.

Sistem pendidikan di Sabah juga perlu diiktiraf bagi memastikan golongan belia tidak melupakan asal-usul dan sejarah.

“Dari segi pendidikan sekarang perlu diiktiraf pasal sejarah sebab kebanyakkan budak-budak sekarang mereka lebih moden.

Pendapat Mohd Shahril Iskhandar Azman pula sejarah yang telah ditinggalkan perlu diberi perhatian oleh golongan belia masa ini.

“Sejarah lama ditinggalkan, selain itu, kebanyakan belia zaman sekarang ini mereka lebih fokus untuk bekerja sebab dengan masalah kos sara hidup yang tinggi,” kata Mohd Shahril.