Pergerakan Pemuda UMNO hari ini menggesa supaya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mempertimbangkan untuk bercuti seketika daripada menjalankan tugas sebagai presiden parti sehingga kesnya selesai.

Ketuanya, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, cadangan itu dibuat supaya Ahmad Zahid dapat memberi tumpuan kepada 45 pertuduhan yang dihadapinya di mahkamah.

"Pemuda UMNO melahirkan rasa simpati dan amat dukacita dengan jumlah pertuduhan yang terpaksa dihadapi oleh Preisden UMNO.

"Bagi Pemuda, rehat daripada menjalankan tugas sebagai presiden bukanlah bermakna Datuk Seri Zahid sudah bersalah. Sebaliknya beliau seharusnya diberikan peluang untuk memfokuskan usaha membersihkan nama di mahkamah dengan 45 pertuduhan yang dihadapi beliau.

"Pemuda tetap berpendirian selagi tidak disabitkan hukuman, beliau berhak dilayani sebagai seorang yang tidak bersalah berasaskan prinsip Islam dan prinsip perundangan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi turut menafi sebarang gesaan untuk meminta Ahmad Zahid meletak jawatan.

"Biarlah proses perundangan berjalan dengan adil, telus dan tanpa prejudis di kamar mahkamah dan bukannya dihukum di pentas media.

"Pemuda menegaskan bahawa beliau harus diberikan hak dan peluang untuk membela diri dan mendapatkan keadilan sepenuhnya," tambahnya.

Kedudukan bekas timbalan perdana menteri itu sebagai Presiden UMNO menjadi tanda tanya selepas beliau didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 45 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram, melibatkan dana Yayasan Akalbudi.

Sebelum ini, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Mohamad Hassan berkata, Ahmad Zahid mungkin perlu mengambil cuti daripada menjalankan tugas-tugas parti selepas didakwa di mahkamah.

Menurut Mohamad, UMNO mempunyai prosedur operasi standard (SOP) pada tahun 2009 yang memerlukan pemimpin tinggi bercuti jika berdepan tuduhan jenayah di mahkamah.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung parti, Tan Sri Annuar Musa berkata, SOP tersebut hanya boleh digunakan sekiranya UMNO adalah sebahagian daripada parti yang memerintah.