Pemuda UMNO diharap mempertimbangkan semula gesaannya agar presiden parti Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bercuti buat seketika daripada menjalankan tugas sehingga kes di mahkamah melibatkannya selesai.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO bahagian Sungai Besar yang juga ADUN Sungai Panjang Datuk Mohd Imran Tamrin berkata gesaan terhadap Ahmad Zahid untuk bercuti atau berehat adalah satu keputusan yang terburu-buru.

"Kami kepimpinan Pemuda UMNO Sungai Besar mengambil ketetapan untuk terus menyokong Ahmad Zahid kekal menggalas tugas sebagai presiden parti dan terus menjadi Ketua Pembangkang di dalam Parlimen selagi mana beliau belum didapati bersalah oleh mahkamah," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ketua Pemuda UMNO Datuk Asyraf Wajdi dalam sidang akhbar hari ini menggesa Ahmad Zahid agar dapat mempertimbangkan untuk bercuti buat seketika daripada menjalankan tugas sehingga kesnya di mahkamah selesai.

Ahmad Zahid didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Jumaat lalu atas 45 pertuduhan melibatkan 10 pertuduhan pecah amanah dan lapan pertuduhan menerima suapan berjumlah lebih RM42 juta serta 27 pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram berjumlah lebih RM72 juta.

-- BERNAMA