'Tan Sri Muhyiddin adalah penyelamat, bukan pengkhianat.'

Itu pandangan segelintir pihak termasuk mereka yang pernah dilihat memihak kepada kem Tun Dr Mahathir Mohamad yang pernah mendakwa Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah pengkhianat kepada mandat rakyat.

Malah ia jauh meleset daripada realiti sebenar, tegas Naib Presiden Bersatu, Datuk Abdul Rashid Asari.

Ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang itu lagi, Muhyiddin, yang juga Pemangku Pengerusi Bersatu, sebaliknya adalah ‘penyelamat’.

Abdul Rashid berkata, apa yang Muhyiddin lakukan, termasuk menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk menubuhkan kerajaan baharu sehinggalah dilantik Perdana Menteri, hanya selepas mendapat persetujuan daripada Dr Mahathir sendiri.

“Bila Tun Mahathir berkata baiklah, kalau rasa boleh menang silakan. Tun Mahathir memberi kebenaran kepada Muhyiddin untuk berjumpa dengan Yang di-Pertuan Agong dan apabila mendapat kebenaran daripada Tun Mahathir sendiri, lalu Tan Sri (Muhyiddin) mengumpulkan beberapa ahli parlimen yang terdiri daripada JPS Sarawak, Pas, UMNO.

“Apabila cukup lengkap keahlian ahli parlimen yang menyokong beliau untuk menubuhkan kerajaan, pada masa itu kalau tidak silap saya, Tan Sri Muhyiddin membawa 118 ahli parlimen yang menyokong beliau,” katanya kepada Astro AWANI ketika ditanya mengenai persepsi negatif segelintir pihak terhadap kumpulan sokongan kepimpinan Muhyiddin.

Sebelum ini, Tun Mahathir mendakwa Muhyiddin telah mengkhianatinya apabila beliau menerima sesiapa sahaja daripada UMNO termasuk pemimpin yang ditolak rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) serta pemimpin yang masih berdepan kes perbicaraan di mahkamah.

Dalam pada itu, Ketua Bersatu Bahagian Sungai Besar, Hasnizam Adham pula beranggapan bahawa parti Bersatu akan lebih kukuh sekiranya ahli parti menyokong Presiden dan pemangku Pengerusi parti itu iaitu Muhyiddin.

“Walaupun saya menyokong kepimpinan Yang Amat Berhormat Tan Sri Muhyiddin Yassin, bukan bermaksud saya menidakkan kepimpinan penyokong-penyokong ideologi Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Tun pernah ajar, ingatkan, parti lebih utama, jadi pada saya, saya beranggapan Tun Mahathir memberi mesej, hari ini kalau sayangkan parti, you kena stay (setia) dengan parti,” tambahnya lagi.

Muhyiddin sebelum ini secara tidak rasmi menang tanpa bertanding bagi mengekalkan jawatan Presiden Bersatu selepas menjadi calon tunggal bagi jawatan itu pada pemilihan parti itu bulan depan.

Turut menang tanpa bertanding jawatan Timbalan Presiden adalah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, yang juga menjadi calon tunggal jawatan tersebut.

Pengumuman secara rasmi mengenai keputusan pemilihan itu akan dibuat selepas selesai kesemua mesyuarat Bahagian Bersatu yang dijangka pada September ini.