Trend menggunakan pemesejan politik dan penyasaran melalui media sosial telah menjadi lebih signifikan sejak Pilihan Raya Umum ke-13 dan kebanyakannya tertumpu kepada kawasan pilihan raya di bandar dan Gen Y.

Timbalan Dekan (Bakat dan Penyelidikan) Fakulti Pembangunan Sosial dan Ekonomi Universiti Malaysia Terengganu, Dr Nazli Aziz berkata, bagaimanapun, penggunaan media sosial tidak menembusi sepenuhnya pengundi di seluruh negara, tetapi ia telah berkembang dengan ketara memandangkan pihak kerajaan dan pembangkang sama-sama memahami kuasanya untuk menarik undi.

"Jika kita melihat dengan lebih teliti, kita masih mengalami jurang digital di Malaysia disebabkan beberapa faktor seperti antara bandar dan luar bandar, kaya dan miskin di samping kumpulan berpendidikan dan tidak berpendidikan.

"Banyak 'baby boomer' dan pada tahap tertentu, Gen X, masih lebih menyukai kaedah media massa konvensional, misalnya akhbar. Kebanyakan daripada mereka juga teruja untuk menghadiri ceramah," katanya kepada Bernama dalam wawancara menerusi e-mel.

Nazli berkata data analitik boleh digunakan untuk menyesuaikan kempen kepada bakal pengundi penyasaran mikro secara digital melalui semua saluran media sosial.

Penyelaras Demokrasi dan Tadbir Urus Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi Aira Azhari berkata teknologi telah menjadi alat pemesejan politik yang boleh dipercayai dan ia mempermudahkan parti politik untuk menawan sasaran selain memperluaskan kempen mereka.

Beliau menegaskan bukti menunjukkan bahawa kaedah ini sedang dilaksanakan semasa pilihan raya di seluruh dunia dan ia boleh menjadi realiti baharu yang harus diterima masyarakat.

"Saya tidak terkejut jika ia dilakukan di Malaysia, Ia dilakukan dalam pilihan raya umum sebelum ini. Jika anda mahu menang pilihan raya dan anda mempunyai wang, mengapa tidak?

"Malah sebelum ada Facebook dan Cambridge Analytica, anda melakukannya (pemesejan politik dan penyasaran) secara manual ke kawasan pilihan raya anda," katanya kepada Bernama dalam temu bual baru-baru ini.

Cambridge Analytica adalah sebuah firma politik, analisis data, pengiklanan dan perundingan berpangkalan di UK yang didakwa memperoleh sumber data Facebook secara tidak sah dan menggunakannya untuk mempengaruhi pelbagai kempen politik.

Aira berkata pemesejan politik dan penyasaran terbukti berkesan semasa pilihan raya presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan penarikan diri United Kingdom daripada Kesatuan Eropah.

"Sama ada ia (data analitik) mempunyai peranan, ia telahpun memainkan peranan dan ia sedang melakukan tugasnya sekarang. Ia dilakukan oleh parti-parti politik tempatan daripada kedua-dua pihak seperti Invoke Malaysia, yang ditubuhkan oleh Naib Presiden PKR Rafizi Ramli," katanya.

-- BERNAMA