Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menerusi Urusetia Penubuhan Parti masih belum mengedarkan sebarang borang keahlian kepada orang ramai bagi menerima permohonan menyertai atau menjadi ahli parti berkenaan.

Bakal Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, tindakan itu ialah bagi mematuhi peraturan pihak Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) yang masih menjalankan proses pendaftaran parti itu.

Bagaimanapun, menurut beliau, satu Borang Tunjuk Minat akan dibuka secara atas talian bagi mengumpul butiran pemohon memandangkan terdapat ramai yang berminat menyertai Pejuang sebagai ahli.

Tegasnya, butiran berkenaan akan diambil kira sebagai permohonan untuk menjadi ahli parti itu.

Susulan itu, tegas Mukhriz, sebarang borang yang diedarkan secara fizikal atau atas talian yang tidak dikeluarkan Urusetia Penubuhan Parti, tidak diiktirat sebagai borang rasmi.

Semua yang berminat menjadi ahli Pejuang juga diminta untuk berurusan secara langsung dengan Urusetia Penubuhan Parti selain menantikan borang secara atas talian yang akan disiarkan dalam masa terdekat.

Pejuang yang diasaskan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad didaftarkan secara rasmi dan menggunakan huruf Jawi ‘Pa’ sebagai logo pada 19 Ogos lalu.

Mukhriz menjelaskan, logo berwarna ‘biru pantone’ itu turut terdapat tiga titik yang bermaksud rukun Islam, rukun Iman dan rukun negara.

Selain Mukhriz dan Dr Mahathir, lima lagi nama diserahkan sebagai jawatan kuasa penaja Pejuang termasuk Datuk Amiruddin Hamzah, Dr Maszlee Malik, Datuk Seri Marzuki Yahya, Datuk Shahrudin Salleh dan Datuk Nuhairi Ahmad.