Parti Bersatu Sabah (PBS) mengucapkan tahniah kepada calon DAP Vivian Wong kerana berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Sandakan pada pilihan raya kecil semalam.

"Pengundi telah membuat pilihan dan kami menghormati keputusan pengundi. Kami harap DAP memenuhi segala janjinya kepada rakyat.

"Di peringkat awal lagi, PBS menyedari dirinya sebagai 'political underdog' berdasarkan keputusan pilihan raya bagi kawasan itu dalam Pilihan Raya Umum ke-14," kata presiden parti itu, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dalam kenyataan di sini malam tadi.

"Kami mengucapkan terima kasih kepada rakyat Sandakan yang mengundi calon PBS kami Datuk Linda Tsen Thau Lin dan berterima kasih kepada rakan-rakan pembangkang kami yang membantu dalam pilihan raya kecil ini.

"PBS melaksanakan tentangan hebat, tetapi akhirnya kami gagal mengatasi kekuatan yang kami hadapi. Semoga Tuhan merahmati Sandakan, Sabah dan Malaysia," kata beliau. -- Bernama