Parti pembangkang dilihat akan terus memainkan permainan politik persepsi terutama menjelang Pilihan Raya Umum ke-14.

Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, tindakan politik 'kotor' oleh pembangkang itu dilihat akan lebih agresif semata-mata untuk meraih sokongan rakyat.

"Pada PRU yang lalu, pembangkang memainkan pelbagai berita palsu bagi memburukkan imej parti dan Kerajaan di mata rakyat. Direka-rekanya, cerita bohong 40,000 pengundi hantu 'diimport' dari Bangladesh.

"Inilah dia modus operandi pembangkang. Kalau tak percaya, tengoklah PRU Ke-14 nanti, mereka akan terus berbohong lagi, macam-macam isu bakal mereka timbulkan, bahkan akan bertindak lebih agresif, lebih cunning, semata-mata untuk meraih sokongan rakyat," katanya pada Ucapan Dasar Presiden UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Walaupun mengakui UMNO hampir tewas akibat permainan politik persepsi pembangkang, namun tegas Datuk Seri Najib secara realiti UMNO masih berada di landasan yang betul.

"Semua orang tahu, UMNO tidak lemah. Malah, kita masih menang dan berjaya menambah jumlah 79 kepada 88 kerusi Parlimen. Namun, akibat permainan jelek pembangkang, kita telah menjadi mangsa politik persepsi.

"Inilah yang dinamakan perang persepsi di mana kita hampir tewas akibat permainannya. Walaupun di sudut realiti dan faktanya, kita berada di landasan yang betul dan bersungguh-sungguh dalam berjuang, berbanding pembangkang yang penuh dengan sandiwara dan hanya pandai bermain wayang," ujarnya.