Pengundi Melaka dijangka mengalih sokongan daripada pembangkang selepas menyedari wakil mereka hanya pandai cakap daripada berkhidmat kepada rakyat.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Idris Haron berkata, ia sekali gus membuka mata kepada sikap sebenar wakil rakyat pembangkang yang hanya mementingkan diri sendiri.

Jelasnya, mereka juga tidak kisah jika memilih semula calon UMNO yang pernah kalah pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lepas.

Paling penting ujarnya, calon itu tetap berkhidmat kepada rakyat di kawasannya walaupun tewas pada pilihan raya lalu.

"Mereka yang telah memilih calon yang tersilap rasa menyesal apabila calon pembangkang yang dipilih menjadi wakil mereka pada pada hari ini bercakap seolah-olah mereka melepaskan tanggungjawab.

"Mereka (calon pembangkang) cakap tuan-tuan, saya ni wakil rakyat cuma bercakap di Parlimen bahawa suara tuan-tuan , kalau tuan-tuan hendak perkhidmatan, hendak ubat, hendak bantal, hendak kerusi roda jumpa orang UMNO, jumpa orang Barisan Nasional (BN)," katanya ketika ditemui di Laman Media sempena Perhimpunan Agung UMNO 2017 (PAU2017) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Dalam pada itu beliau yang juga Ketua Menteri Melaka berkata, rakyat di negeri itu juga sudah menyedari kesilapan memberi undi kepada pembangkang.

Jelasnya, calon pembangkang juga tidak dapat memberi kemajuan kepada negeri itu selepas satu penggal menang di beberapa kawasan di Melaka.