Ahli UMNO perlu mempertimbangkan setiap tindakan yang ingin dilakukan dan memikirkan akibat negatif yang mungkin timbul daripada perbuatan masing-masing.

Perwakilan Kelantan, Amran Ariffin berkata, kesilapan daripada sikap negatif termasuk amarah kepada parti bakal mengakibatkan risiko buruk yang terpaksa ditanggung semua.

"Manusia ini tidak sempurna, begitu juga parti kita, bukan dipimpin oleh malaikat, begitu juga dengan parti lain, kita kena redha, sedikit sebanyak kelemahan yang berlaku dalam parti kita, jangan bakar kelambu kerana marahkan nyamuk,

"Jangan kita bakar parti keramat kita ini kerana tidak suka kepada pemimpin yang bacul, pemimpin yang khianat rasuah, kita kena ada fikiran yang besar," katanya ketika berbahas menyokong usul pendidikan dan agama di sini hari ini.

Sebelum ini, tindakan beberapa kepemimpinan tertinggi UMNO keluar parti dilihat akibat sikap amarah individu itu sendiri terhadap isu dalaman parti.