Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengakui masih perlu bertanding pada pemilihan parti akan datang untuk beliau mengekalkan jawatan tersebut.

Jelasnya, ketetapan yang dibuat perwakilan itu dilihat perlu dilakukan bagi mengelak segelintir pihak untuk melaga-lagakan tiga pemimpin utama parti itu tatkala memfokuskan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

"Kita telah buat ketetapan dengan jelas bahawa hanya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden sahaja yang tidak akan dipertandingkan pada pemilihan akan datang.

"Naib Presiden dan Majlis Tertinggi masih perlu bertanding seperti biasa. Saya lihat tak akan Datuk Seri Zahid (Hamidi) akan menentang Datuk Seri Najib (Tun Razak), takkan saya nak lawan Datuk Seri Zahid?

"Oleh sebab itu kita kena buat ketetapan awal untuk memastikan segalanya berjalan lancar," ujarnya ketika ditemui Astro AWANI di Laman Media sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU2017) di sini, hari ini.

Sebelum itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi indikasi seolah-olah Hishammuddin akan kekal memegang jawatan sebagai Naib Presiden tanpa bertanding.

BACA: PAU2017: Hanya dua kerusi Naib Presiden dipertandingkan?

Pada PAU2017 hari ini, perwakilan sebulat suara meluluskan usul jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang.

Pengerusi Tetap UMNO, Tan Sri Badruddin Amiruldin mengumumkan keputusan itu selepas perwakilan mengundi bersetuju dengan usul yang dicadangkan wakil Pemuda UMNO.

Datuk Mohamad Sahfri Ab Aziz dan disokong oleh wakil Perak, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin, serta dibahaskan wakil negeri serta jurucakap sayap.

Mengikut Akta 5 Perlembagaan UMNO, usul yang dibawa wakil Pemuda itu mengajak seluruh kekuatan dan potensi anggota, penyokong UMNO dan komponen BN untuk meningkatkan solidariti bagi memenangi PRU-14.