UMNO wajar menerima idea golongan pendidik walaupun mereka mungkin berbeza pandangan daripada kerajaan.

Perwakilan UMNO Johor, Zahari Arip berkata, ini kerana buah fikiran mereka adalah penting demi pembangunan negara.

"Bukan semua warga pendidik menyokong pembangkang. Mereka mungkin berbeza pandangan atau mempunyai ideologi yang berbeza, tetapi tidak semestinya mereka menyokong pihak belah sana.

"Janganlah kita anggap mereka ini pembangkang hanya kerana mereka menyuarakan pandangan yang berbeza," kata Zahari ketika membahaskan usul pendidikan dan agama pada Perhimpunan Agung UMNO 2017 (PAU2017) Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

PAU2017 yang bermula pada 5 Disember lepas akan melabuhkan tirainya hari ini.