Tidak salah duduk berbincang dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) namun untuk bertahaluf siyasi seperti dahulu, itu mustahil.

Itu yang ditegaskan oleh Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang menjelaskan, Pas tidak mungkin akan bertahaluf siyasi dengan PKR setelah secara rasmi terbatal kerjasama tersebut seperti yang diputuskan dalam muktamar lalu.

Bercakap kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya siang tadi, Mohd Amar berkata, PKR dilihat sudah berpecah kepada dua kumpulan, kumpulan yang menyokong untuk berunding dengan Pas dan kumpulan yang menentang.

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, Pas menasihati Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) supaya tidak terjebak dengan permainan politik DAP yang ingin menjadikan PPBM sebagai kuda tunggangan.

Katanya Pas mempunyai sejarah dan pengalaman bersama DAP suatu ketika dahulu dan pernah dijadikan alat oleh DAP untuk mencapai hasrat politik mereka.

Katanya, DAP dilihat sudah berjaya menguasai undi kaum Cina dan kini cuba beralih arah untuk meraih undi Melayu melalui gabungan Pakatan Harapan.

DAP bergerak atas pelbagai isu, isu rasuah, isu menuntut kerajaan adil dan sebagainya namun DAP mempunyai agenda tersembunyi.

Berdasarkan pengalaman Pas berkawan dengan DAP ketika dahulu, DAP katanya merupakan sebuah parti anti-Islam dan sekular.