Muktamar Tahunan Pas ke-64 membuka tirainya pada Khamis dengan menawarkan politik moden dan strategi perang eksklusif kepada parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Muktamar kali ini sudah dijangka akan menjadi medan perbincangan halu tuju Pas menghadapi PRU15 dengan sasaran utama untuk bekerjasama dengan UMNO sebagai pembangkang.

Nada sama disuarakan pimpinan dan perwakilan daripada Muktamar Dewan Ulama Pas ke- 57 dan Muktamar Dewan Pemuda Pas ke-59 yang mula bersidang pada Khamis.

Mursyidul Am Pas Datuk Hashim Jasin, dalam ucapan perasmian Muktamar Dewan Ulama, berkata UMNO hadir kepada Pas dalam keadaan lemah selepas kekalahan teruk pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Ketua Dewan Pemudanya, Muhd Khalil Abdul Hadi pula melahirkan kepercayaan dan strategi perang berasaskan penekanan khusus kepada politik anak muda perlu diambil kira jika parti ingin menguasai pentas politik pada PRU15.

Penganalisis politik daripada Universiti Putra Malaysia, Dr Syed Agil Syed Alsagoff melihat Pas tidak boleh bergerak sendirian bagi memenuhi matlamat perjuangan politiknya.

Pas memerlukan rakan parti politik yang boleh diharapkan untuk memperjuangkan agenda politik yang lebih besar dan bersedia untuk memimpin negara sekiranya mendapat sokongan daripada rakyat nanti, katanya.

Beliau berkata, agenda memperjuangkan syiar Islam yang diwarwarkan memperlihatkan perlu adanya suatu persepakatan yang kukuh dalam hal ini, iaitu Pas harus bekerjasama dengan UMNO di bawah satu bumbung gagasan politik baharu bagi merealisasikan impian dan hasratnya.

"Bukan setakat itu sahaja, Pas harus juga harus belajar menerima dan berkongsi agenda politik dengan parti lain yang juga sebahagian daripada BN seperti MCA dan MIC bagi menguatkan barisan kepemimpinan pembangkang pada hari ini," katanya ketika dihubungi Bernama.

Mengulas lanjut, pakar geostrategis daripada Universiti Teknologi Malaysia, Azmi Hassan pula mengingatkan setiap tindak tanduk kerajaan negeri pimpinan Pas iaitu di Kelantan dan Terengganu perlu selari dengan kehendak Islam dan berusaha mempertingkat martabat Islam.

"Dengan cara ini lebih mudah bagi UMNO berada bersama dan pertahan tindakan Pas. Bagi UMNO pula yang mempunyai Perlis dan Pahang perlu juga seiring dengan Pas dalam pertahan agama dan bangsa.

"Dengan pentadbiran empat negeri ini maka keyakinan dapat dipamerkan kepada rakyat bahawa kerjasama bukan hanya untuk kepentingan politik tetapi juga untuk kepentingan rakyat dan negara," katanya. -- Bernama