PAS berpandangan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed perlu membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum.

Naib presidennya Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mendakwa, kedudukan kerajaan pada masa ini goyah apabila perdana menteri dikatakan gagal menguasai pimpinan dalam Pakatan Harapan (PH).

Bahkan, katanya, ramai pimpinan dalam PH mula hilang hormat kepada Dr Mahathir dengan membuat kenyataan dan bercakap menyuarakan pandangan masing-masing.

“Kalau jadi begini, bermakna sudah hilang kawalan. Kalau dia boleh kawal, tak akan jadi macam ini. Orang itu, orang ini keluar kenyataan, (kerajaan) hilang kawalan.

“Sebab itu, kalau tanya kepada kami di pihak pembangkang, bubarlah Parlimen, beri mandat kepada rakyat untuk pilih kerajaan yang rakyat yakin,” katanya pada Jumaat.

Tambahnya, kerajaan PH dilihat tidak stabil sehingga memberikan tanggapan kurang baik kepada rakyat dan juga negara luar.

Kecelaruan dalam kalangan pimpinan PH juga dilihat membimbangkan pelabur dari luar, kata Mohd Amar.

Bagaimanapun, PAS turut menawarkan pilihan kepada Dr Mahathir untuk membentuk kerajaan baharu sekiranya laluan untuk membubarkan Parlimen dilihat sukar.