Pas menegaskan parti Islam itu bukan ‘hotel persinggahan’ buat mana-mana pihak yang hanya menumpang ketika parti itu teguh.

Sebaliknya, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata parti itu tetap kuat walaupun pernah dikhianati oleh mereka yang bersama parti itu sebelum ini.

Tegas Abdul Hadi lagi, mereka yang meninggalkan parti itu sebelum ini adalah kerana mahu ‘mengejar’ keuntungan daripada parti lain.

"Mereka jadikan Pas sebagai hotel persinggahan kerana mereka mahukan kemenangan yang mudah buat mereka, tetapi Pas dengan perjuangan Islam tetap utuh dan tidak pernah jatuh.

"Pas cukup matang dalam berpolitik kerana kita pernah bertahaluf dengan banyak parti sejak dahulu dan walaupun meninggal dan ditinggalkan mereka, kita tetap istiqomah dan terus matang," katanya pada Ahad.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan presiden di Muktamar Tahunan Pas ke-66 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik) di Pengkalan Chepa, di sini.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Marang itu mengambil contoh kemenangan Kelantan pada Pilihan Raya Umum 1990.

Ketika itu katanya, Pas bertahaluf dengan Semangat 46, sebelum parti itu dibubarkan.

Namun jelas Abdul Hadi, Pas masih utuh di negeri itu sehinggalah sekarang.

"Kerana perjuangan kita yang istiqomah inilah, kita tetap berdiri dan akhirnya kita merampas Terengganu dan juga bersama Perikatan Nasional (PN) di Kedah," katanya.

Beliau dalam pada itu turut menitipkan pesanan agar ahli Pas terus mengukuh perpaduan ummah dan mendokong Islam sebagai asas parti.

Terdahulu, turut berlangsung sesi perbahasan ucapan dasar presiden oleh para perwakilan.

Muktamar Tahunan Pas ke-66 yang berlangsung selama sehari pada Ahad menyaksikan hanya 400 perwakilan yang hadir, selari dengan norma baharu.

Ia begitu signifikan buat Pas memandangkan genap setahun usia Muafakat Nasional (MN) yang dimeterai antara Pas dan UMNO pada 14 September tahun lalu.