Setiausaha Pakatan Harapan (Harapan) Johor, Datuk Osman Sapian menyambut baik hasrat mana-mana individu, termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) pembangkang, yang ingin menyertai gabungan parti itu.

Bagaimanapun proses saringan akan dilakukan terlebih dahulu bagi memastikan mereka benar-benar taat dan setia kepada parti dan bukannya berbuat demikian untuk kepentingan peribadi.

"Kita tidak mahu orang di luar sana menganggap Harapan sebagai parti yang boleh keluar masuk sesuka hati," katanya mengulas tindakan tiga Adun Barisan Nasional (BN) yang mengumumkan akan menyertai Harapan selepas BN tewas di negeri itu.

Terdahulu, tiga Adun BN itu, Rasman Ithnain (Sedili), Rosleli Jahari (Johor Lama) dan Alawiyah Talib (Endau), mengumumkan akan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) setelah mengambil kira kepentingan rakyat dan perpaduan Melayu.

Mereka mendakwa dengan situasi BN sebagai pembangkang di Johor, mereka tidak akan mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

"Kami buat ini tujuan untuk perpaduan Melayu dan rakyat. Sebab itu, selepas ini nanti, kami akan mohon untuk masuk PPBM.

"Apa yang penting, untuk rakyat. Kami kena membela dan membantu rakyat. Kami sentiasa membantu rakyat. Apa saya boleh buat dengan rakyat, bagaimana nak bantu rakyat sekarang.

Dari kiri, Rosleli, Rasman dan Alawiyah pada sidang media hari ini. - Astro AWANI / ABDUL HAKIM RAHMAN

"Pengundi akan faham. Pengundi sokong kami kerana mahukan perkhidmatan kami. Bila waktunya sekarang kami nak melangsungkan kehendak rakyat, bagaimana kami nak buat kerja," kata Rasman.

Turut bersama mereka menyertai PPBM adalah kira-kira 40 ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Kota Tinggi.

Dengan penyertaan tiga wakil rakyat tersebut, DUN Johor menyaksikan kerajaan Harapan negeri mempunyai 39 kerusi berbanding BN 16 kerusi dan Pas satu kerusi.