Tiada apa yang baru sekiranya Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar meletak jawatan, kata Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata demikian apabila ditanya mengenai siri peletakan jawatan Nurul Izzah sejak tahun lalu.

Terbaru, Nurul Izzah meletak jawatan sebagai anggota Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pada 23 Mac.

“Saya rasa peletakan jawatan Nurul Izzah ini bukan perkara baru kerana beliau juga sudah letak jawatan daripada TVET, beliau letak jawatan daripada... saya pun tak ingat apa lagi... oh ya, sebagai naib presiden (PKR) juga,” katanya kepada pemberita semasa ditemui di lobi Parlimen pada Rabu.

Pada 18 Dis tahun lalu, Nurul Izzah mengumumkan peletakan jawatan sebagai Naib Presiden PKR, Pengerusi PKR Pulau Pinang serta Pengerusi Jawatankuasa Pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Malaysia (TVET).

Tambah Zuraida, anggota PAC sepatutnya berbincang dan mendapatkan penjelasan daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang & Hal Ehwal Parlimen) Datuk Liew Vui Keong sebelum membuat keputusan meletak jawatan.

“Pada awalnya, reaksi saya adalah untuk menasihatkan mereka (anggota PAC), cara yang terbaik, memandangkankan kita sudah menjadi kerajaan, adalah untuk pasukan PAC itu sendiri berjumpa dengan menteri yang terlibat.

“Tetapi sebelum itu dilaksanakan, satu kenyataan media telah dibuat. Jadi saya tak boleh buat apa-apa memandangkan dia (Nurul Izzah) sudah buat (kenyataan),” katanya.

Pada Sabtu lalu, Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof mengesahkan Nurul Izzah meletakkan jawatan sebagai anggota PAC.

Nurul Izzah turut menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Pengerusi PAC, Datuk Seri Ronald Kiandee dan Ketua Whip Pakatan Harapan (PH), Datuk Johari Abdul.

Difahamkan, tindakan Nurul Izzah meletakkan jawatan itu membabitkan isu kepemimpinan PAC.