Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka, Nik Omar Nik Abdul Aziz diberikan peluang supaya kembali ke pangkal jalan dan bertaubat atas tindakan beliau bertanding atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mewakili Pakatan Harapan (PH) di DUN tersebut.

Menurut Naib Ketua Dewan Ulamak Pas Pusat, Datuk Dr Johari Mat, ini kerana penglibatan Nik Omar dalam sebuah parti yang tidak meletakkan Islam sebagai asas perjuangan mereka.

"Kalau kaedah kita dalam sembahyang jemaah, kalau kita ke masjid lihat pula orang sedang berjemaah, kita tak boleh buat jemaah lain, kena sertai jemaah yang solat itu, kecuali jemaah itu selesai.

“Kalau nak kata imam solat pertama itu tersasar, maka jemaah yang kedua itu sepatutnya lihat sama ada imam itu yang tersasar atau mereka yang tersasar.

"Begitu juga dengan keadaan ini yang mana sepatutnya tiada lagi mereka yang boleh dakwa memperjuangkan Islam kerana Pas sudah memperjuangkan Islam," katanya.

Kiasan itu ditujukan kepada Nik Omar yang sepatutnya melihat tindakannya menyertai parti yang bukan selari dengan Pas selain menyifatkan tindakan anak bekas Mursyidul Am Pas itu sebagai tersasar.

Nik Omar dikiaskan sebagai menaiki bas yang entah ke mana tujuannya atau dengan lebih tepat tersasar dalam wadah perjuangannya dengan menyertai parti yang salah untuk meneruskan legasi Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“Kita berdoalah setiap orang tersilap boleh betulkan balik, terlajak boleh betulkan, Allah buka jalan untuk mereka bertaubat, kita dalam Pas tak pernah tutup pintu untuk mereka yang berada dalam PAN kembali kepada Pas,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Johari menegaskan bahawa Pas tidak bermusuh dengan Nik Omar.

Dalam perkembangan berkaitan, Dewan Ulamak Pas Kelantan juga sedang menimbang untuk mengemukakan laporan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam (JHEAIK) Kelantan berikutan dakwaan berlaku sumpah ke atas pengundi yang menerima bantuan supaya menyokong calon dan parti Barisan Nasional (BN) di negeri itu.

Katanya dakwaan sumpah supaya pengundi mengundi calon dan juga BN dengan tawaran bantuan dilaporkan dikesan di Parlimen Pasir Puteh dan juga Jeli.