Tidak timbul soal bekas Mursyidul Am PAS Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akan membantah kerjasama politik dengan UMNO, kerana perkara ini pernah dipersetujui beliau ketika masih hidup, dedah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Menurut Ahli Parlimen Marang itu, kerjasama yang direalisasikan melalui pemeteraian Piagam Muafakat Nasional hari ini bukan lah sesuatu perkara yang baharu, tetapi pernah dibincangkan oleh Majlis Syura Ulama sewaktu Nik Abdul Aziz masih hidup.

“Taawun ini ialah satu istilah yang sudah sepakat dengan Tuan Guru Nik Aziz ketika beliau masih hidup lagi kerana kerjasama ini pernah ada zaman 70-an dulu.

“Taawaun dibincangkan oleh Majlis Syura Ulama pada masa Tok Guru (Nik Abdul Aziz) masih hidup lagi,” katanya kepada sidang media selepas Majlis Menandatangani Piagam Muafakat Nasional di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Dalam pada itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sekali lagi menegaskan kerjasama itu sama sekali tidak akan meminggirkan nasib kaum lain di negara ini.

"Seperti yang kami sebut dalam ucapan, permuafakan ini akan merangkumi pembelaan bangsa lain kerana agenda untuk orang bukan Melayu juga merupakan agenda nasional. Jangan bimbang, ini bukan mengenai ekstremisme," tegas Ahmad Zahid lagi.