Bekas Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak tidak akan turun berkempen untuk Barisan Nasional (BN) di kedua-dua Pilihan Raya Kecil (PRK) Balakong dan Seri Setia nanti.

"Tidak ... saya mahu rehat," jawabnya ringkas ketika ditemui di lobi Parlimen, di sini hari ini.

Najib ditanya tentang kemungkinan beliau akan turun berkempen untuk BN selepas sesi penamaan calon bagi kedua-dua PRK tersebut.

BACA: 'UMNO macam susah selagi Najib tidak jarakkan diri' - Nazri

BACA: 'Tidak salah untuk saya pertahan diri' - Najib

Beliau turut ditanya tentang sebab utama mengapa beliau turun berkempen di PRK Sungai Kandis baru-baru ini.

"Saya mula-mula tidak bercadang untuk turun berkempen. Namun, atas undangan Datuk Lokman Noor Adam sendiri, sebab itu saya turun untuk membantunya," kata Najib.

PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong diadakan susulan kematian penyandangnya, Ng Tien Chee yang maut dalam kemalangan di KM11.7 Lebuhraya Grand Saga pada 20 Julai lalu.

Manakala, PRK DUN Seri Setia pula diadakan selepas kerusinya kosong susulan penyandangnya Prof Dr Shaharuddin Badaruddin meninggal dunia akibat barah usus pada 2 Ogos lalu.