MyPPP bersedia menukar dua kerusi tradisinya dengan parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) atas semangat kerjasama dan perpaduan, kata Presidennya Tan Sri M. Kayveas.

Beliau berkata dua kerusi tersebut ialah Parlimen Kepong di Selangor dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Bedamar di Teluk Intan, Perak yang akan diserahkan masing-masing kepada Gerakan dan MCA.

Kayveas yang juga penasihat Kementerian Pengangkutan berkata beliau telah mengadakan perbincangan mengenai pertukaran kerusi itu dengan Presiden Gerakan Datuk Seri Mah Siew Keong serta Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai.

"Presiden MCA bersetuju untuk menyerahkan kepada MyPPP mana-mana kerusi sama ada Parlimen atau DUN dan keputusan mengenai perkara itu akan diumumkan kemudian, manakala kita telah bersetuju menyerahkan Parlimen Kepong kepada Gerakan.

"MyPPP bukan parti yang mementingkan kerusi sebaliknya adalah sebuah parti yang mementingkan perpaduan dan semangat kerjasama antara parti komponen BN bagi memastikan kemenangan pada PRU14," katanya kepada Bernama selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi MyPPP di sini, pada Ahad.

Dalam pada itu, Kayveas memberi bayangan untuk bertanding pada PRU14 di kawasan Parlimen Cameron Highlands yang merupakan tempat asalnya.

"Saya telah meminta restu kepada perdana menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) sebelum datang ke sini (berkhidmat kepada masyarakat), saya tidak akan sewenang-wenangnya datang ke sini jika perdana menteri tidak memberi restu.

"Saya datang ke sini untuk memberi fokus bagi memastikan BN menang di kawasan ini dan bukannya saya fokus hendakkan kerusi ini semata-mata kerana sudah lebih dua tahun saya datang ke sini memberi perkhidmatan," katanya.

Kerusi Parlimen Cameron Highlands kini dipegang bekas Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel yang memenanginya pada PRU13.

Pada PRU13, Kayveas bertanding atas tiket BN di kerusi DUN Pasir Bedamar namun kalah kepada Terence Naidu V. Raja daripada DAP.