Isu berkaitan prestasi pemimpin Pas dalam Kabinet kerajaan dan pendekataan taawun politik Pas dan UMNO dalam Muafakat Nasional (MN) dijangka menjadi topik dalam perbahasan usul Muktamar Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) ke-61, hari ini.

Timbalan ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata muktamar kali ini cukup penting buat Pas kerana pertama kali diadakan selepas parti Islam itu membentuk kerajaan bersama Perikatan Nasional (PN).

Jelas beliau, wadah itu akan digunakan oleh sayap Pemuda untuk mengemukakan gagasan idea baharu demi kesejahteraan negara dan syiar Islam.

“Saya melihat juga prestasi menteri adalah antara perkara yang mungkin akan disentuh oleh para perwakilan yang menyertai perbahasan hari ini.

“Ini kerana ia merupakan satu petanda dan suatu KPI yang cukup dilihat oleh rakyat hari ini," katanya kepada Astro AWANI, di sini, hari ini. .

"Dan rakyat mahu melihat apa yang berjaya dicapai oleh menteri yang dilantik oleh kerajaan, yang menyertai Kabinet, iaitu tiga menteri penuh dan lima timbalan menteri.

“Bagaimana mereka boleh menyumbang kepada negara dalam memberikan keyakinan kepada rakyat?

"Supaya rakyat melihat, kalau Pas diberi peluang untuk menang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini, maka InsyaAllah (mandat itu) boleh dilaksanakan lebih baik daripada apa yang berlaku hari ini,” tambah Ahmad Fadhli.

Hadir sama bagi merasmikan Muktamar DPPM, Timbalan Pesuruhjaya Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Mengulas mengenai sokongan akar umbi terhadap MN, Ahli Parlimen Pasir Mas itu mengakui wujud perasaan tidak puas hati dalam kalangan akar umbi terhadap gabungan tersebut.

Namun tegas beliau, perbezaan pendapat itu sentiasa diselesaikan secara berhemah menerusi perbincangan dalam kalangan pemimpin parti.

“Jadi, soal tidak puas hati itu sentiasa timbul dan sentiasa boleh diselesaikan.

“Dalam rumah tangga, kalau ambil ibarat sekali pun, walaupun perkahwinan mencecah 20 tahun dan 30 tahun, sudah tentu ada sedikit sebanyak isu yang perlu dirundingi setiap masa dalam memastikan kerukunan itu sentiasa berjalan.

“Yang penting, saya yakin segala perundingan dan perbincangan sentiasa diadakan dengan cukup harmoni, dan tidak ada masalah yang cukup besar (antara Pas dan UMNO),” jelas beliau lagi.

Muktamar Tahunan Pas ke-66 yang akan berlangsung pada Ahad diadakan genap setahun usia penubuhan MN yang dimeterai antara Pas dan UMNO pada 14 September tahun lalu.