PERKEMBANGAN politik akhir-akhir ini menunjukkan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 hanya akan diadakan pada tahun 2023, genap lima tahun selepas PRU ke-14.

Hujah itu diberi walaupun timbul ura-ura kononnya PRU ke-15 akan diadakan dalam masa yang terdekat bagi memudahkan usaha penyelesaian kekalutan dan kesulitan yang melibatkan isu penyerahan jawatan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas dua tahun memegang jawatan tersebut seperti didakwa wujudnya perjanjian antara pemimpin-pemimpin tertinggi Pakatan Harapan (PH).

Dalam pada itu, kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 di Parlimen baru-baru ini dijangka meningkatkan jumlah pengundi yang layak mengundi daripada 14.9 juta kepada 22.7 juta orang menjelang tahun 2023.

Kelulusan Parlimen tersebut melayakkan warga negara yang berumur 18 tahun hak mengundi. Apapun, pengundi Melayu yang mewakili 61 peratus daripada jumlah layak mengundi akan menentukan keputusan PRU ke-15 dalam mengemudi masa depan politik negara.

Analisa terperinci berhubung pola pengundian pada PRU ke-14 menunjukkan PH yang menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) menang hampir kesemua kerusi di kawasan bandar dan kawasan yang mempunyai pengundi campuran iaitu pengundi Cina dan India yang jumlahnya melebihi jumlah pengundi Melayu.

Malah, PH menang hampir kesemua kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mempunyai pengundi India lebih daripada 10 peratus.

Pola pengundian pada PRU ke-14 juga menunjukkan sokongan hebat sebahagian besar pengundi India terutamanya pengundi muda menyumbang kepada kemenangan PH pada PRU ke-14.

Persoalannya, apakah PH akan terus meraih sokongan pengundi India pada PRU ke-15 atau mengalih sokongan mereka kepada Muafakat Nasional, sebuah pakatan yang terbentuk pasca PRU ke-14?




Sokongan Kaum India

Sejarah politik negara menunjukkan Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dan Gagasan Rakyat, satu pakatan politik antara parti mewakili sebahagian besar Melayu dan Cina gagal menjatuhkan BN pada PRU kelapan, PRU kesembilan, PRU ke-10 dan PRU ke-11 kerana tidak mendapat sokongan sebahagian besar pengundi India.

Tetapi, sokongan sebahagian pengundi India kepada parti-parti bukan di dalam gabungan BN pada PRU ke-12 dan PRU ke-13 didapati menggugat kekuatan BN malah menyebabkan BN hilang kuasa di beberapa negeri.

Malah, sokongan hebat pengundi India kepada PH pada PRU ke-14 menyebabkan BN melepaskan genggamannya di Putrajaya.

Kajian Suresh Kumar N Vellymalay yang bertajuk 'Aliran Mengundi Kaum India Dalam Pilihan Raya Umum 2013: Suatu Analisis' menunjukkan bahawa persaingan antara BN dan PR untuk meraih undi kaum India pada PRU ke-13 membuktikan bahawa undi India menjadi faktor penentu untuk mengukuhkan kemenangan mereka dalam arena politik Malaysia.

Trend tersebut didapati terus relevan pada PRU ke-14. Sokongan hebat pengundi India hampir mencakupi 85 peratus kepada PH, pakatan antara parti politik yang hampir sama dengan APU dan Gagasan Rakyat berjaya menumbangkan BN pada PRU ke-14.

Pengundi India dilaporkan menyokong PH bukan hanya kerana mereka percaya kepada manifesto PH yang menjanjikan pelbagai perkara namun juga kerana persepsi negatif mereka terhadap UMNO yang terpendam sejak PRU ke-12.

Persepsi negatif terhadap BN, khususnya UMNO di kalangan sebahagian besar pengundi India menyebabkan 58 kawasan Parlimen yang mempunyai jumlah pengundi India antara 5 sehingga 25 peratus termasuk 11 kawasan Parlimen yang mempunyai 11 sehingga 20 peratus pengundi India jatuh ke tangan PH pada PRU ke-14.

Keputusan PRU ke-14 ini jelas menunjukkan sokongan pengundi India mampu menukar kerajaan atau lanskap politik negara secara mendadak.




Perubahan MIC

Sehubungan itu, MIC yang menghadapi kemerosotan sokongan masyarakat India sejak PRU ke-12 didapati mula berubah sejak pucuk kepimpinan MIC diambil alih oleh Tan Sri S A Vigneswaran.

Keterampilan dan kebijaksaan kepimpinan Vigneswaran meraih sokongan mereka merentasi fahaman politik kepada MIC.

Malah program-program kemasyarakatan yang dilaksanakan MIC di bawah kepimpinan Vigneswaran seperti bantuan kewangan kepada pelajar-pelajar yang kurang mampu, program khidmat nasihat guaman secara percuma dan penyediaan khidmat guaman untuk membela tahanan yang didakwa penyokong penglibatan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) di bawah Seksyen 13 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Selain itu bantuan lain adalah membantu keluarga yang menghadapi masalah banjir, kebakaran malah kehilangan pendapatan kerana kehilang pekerjaan, bantuan kewangan RM10 ribu kepada keluarga ahli MIC yang meninggal dunia, sumbangan wang ringgit bagi pembinaan dan membaiki kuil bukan sahaja meraih sokongan masyarakat India malah mendekatkan mereka dengan MIC.

Malah penubuhan Briged Pemuda MIC 2.0 baru-baru ini menggalakkan pemuda India menyertai MIC sekali gus menjayakan usaha tranformasi yang dilakukan dalam parti.

Ia berkait dengan tatacara dan kaedah pemilihan perwakilan untuk menyertai perhimpunan perwakilan pada peringkat bahagian dan kebangsaan yang mendapat sokongan ahli-ahlinya dalam mengukuhkan kekuatan parti di peringkat cawangan.

Selain itu, pendekatan terbuka kepimpinan baharu MIC terhadap sistem memasukkan ahli baharu juga menerima sokongan hebat daripada golongan muda dan profesional.

Jadi, anjakan paradigma dalam pemikiran dan pendekatan pengurusan baharu kepimpinan MIC semakin mengembalikan keyakinan dan sokongan masyarakat India kepada MIC.

Oleh kerana itu, UMNO dan Pas yang mempelopori Muafakat Nasional wajar yakin terhadap kemampuan MIC dalam meraih semula sokongan masyarakat India bagi menjayakan impian BN menguasai semula Putrajaya pada PRU ke-15.



* Datuk M. Periasamy merupakan seorang penganalisis politik, budaya dan tamadun India.

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.