Pendirian calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng berkaitan kerjasama UMNO-PAS-MCA tidak jelas sekaligus bakal menganggu-gugat sokongan pengundi Cina terhadap parti itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai.

Timbalan Presiden Pakatan Harapan (PH) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata perkara ini masih tidak dijelaskan termasuk pendirian Wee dalam isu hudud.

"Wee Jeck Seng patut tahu, malah rakan-rakan kami dalam Pakatan Harapan pun tahu bahawa sikapnya (berkaitan kerjasama) tidak berapa jelas sejak di peringkat awal. Malah daripada ceramah awam saya hadiri termasuk semalam, respons agak baik sekali. Mungkin kerana itu, MCA rasa gentar.

"Bila saya berucap, mereka setuju sambut baik bahawa pendirian calon MCA agak tidak menentu dan serba salah dalam tidak menyokong PAS tapi bersekongkol dengan UMNO untuk sokong PAS. Saya tahu ini akan menjadi penentu MCA dalam masa depan mereka," katanya.

Semalam dalam ceramahnya, Muhyiddin meminta Wee menyatakan pendiriannya berhubung undang-undang hudud selepas partinya MCA dilihat bekerjasama dengan PAS dalam PRK Tanjung Piai.

Parlimen Tanjung Piai mempunyai pengundi berdaftar seramai 52,986 dengan kira-kira 42 peratus adalah pengundi Cina.

PRK Tanjung Piai menyaksikan pertandingan enam penjuru antara calon PH Karmaine Sardini, calon Barisan Nasional Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, calon Gerakan Wendy Subramaniam, calon Berjasa Badhrulhisham Abdul Aziz dan dua calon bebas Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abdul Ghaffar.

-- BERNAMA