Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, tiba di Ibu Pejabat Warisan di Kolombong Baru, Kota Kinabalu, untuk mempengerusikan mesyuarat parti, petang ini.

Beliau yang tiba jam 2.45 petang itu akan bermesyuarat dengan barisan pimpinan termasuk, Ahli Majlis Tertinggi Warisan, bekas wakil rakyat, ketua-ketua bahagian.

Difahamkan, antara intipati yang berkemungkinan dibawa dalam mesyuarat pada petang ini nanti adalah berkenaan pengagihan kerusi atau penyenaraian calon untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Terdahulu, pagi Isnin, Mohd Shafie telah mempengerusikan satu mesyuarat bersama rakan sekutu iaitu UPKO dan Pakatan Harapan.

Beliau dalam sidang media tersebut mengumumkan pengagihan kerusi di antara parti bertanding akan dimaklumkan selewat-lewatnya minggu hadapan.

Kemelut politik Sabah bergolak sejak Rabu lalu, apabila bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman mendakwa mempunyai sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk membentuk kerajaan baharu.

Ekoran itu, pada 30 Julai Mohd Shafie yang merupakan Ketua Menteri Sabah mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Hal ini memaksa Sabah mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) dalam tempoh 60 hari dan Mohd Shafie sebagai ketua Menteri sementara (caretaker).