Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mendedahkan beberapa pemimpin tertinggi UMNO termasuk Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan berjumpanya kerana ingin meminta nasihat untuk meninggalkan parti itu.

Beliau berkata, perjumpaan itu hanyalah sekadar memberi pandangan dan tiada perkara lain yang dibincangkan.

"Mereka datang jumpa saya untuk beritahu bahawa mereka akan tinggalkan UMNO dan mahukan nasihat saya.

"Itu saja tiada perkara lain." katanya kepada media selepas merasmikan Sambutan 20 Tahun Muzium Kesenian Islam, di sini hari ini.

Sebelum ini, gambar beberapa pemimpin tertinggi Umno bertemu perdana menteri menjadi tular.

Selain Mohamad Hasan, Tan Sri Noh Omar, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Datuk Seri Hamzah Zainudin adalah pemimpin dalam imej yang menunjukkan mereka sedang makan malam bersama perdana menteri itu.

BACA: Hamzah Zainudin antara 6 ahli Parlimen keluar UMNO

Mohamad Hasan dalam reaksinya menafikan foto tersebut sebagai petanda beliau akan keluar UMNO, sebaliknya menegaskan imej itu diambil pada tahun lalu.

Terdahulu, enam ahli Parlimen UMNO mengisyiharkan meninggalkan parti keramat Melayu itu berkuat kuasa hari ini