MCA sedia menjalinkan kerjasama dengan mana-mana parti dari blok pembangkang atau kerajaan selagi ia berteraskan demi kebaikan rakyat dan tidak mengetepikan semangat perikatan dalam Barisan Nasional.

Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, MCA sama sekali tidak pernah membuat sebarang perjanjian dengan mana-mana parti, namun berpegang pada idealogi yang sama dalam memperjuangkan isu rakyat.

Katanya lagi, tiada masalah untuk bekerjasama dalam soal berkaitan kepentingan rakyat seperti isu cadangan memansuhkan hukuman mati mandatori.

“Sama ada ia parti dari Sabah atau Sarawak, atau sebarang parti komponen dalam Pakatan Harapan yang berjuang demi kepentingan rakyat, kita boleh bekerjasama.

“Saya tidak peduli sama ada parti itu dari Pakatan Harapan atau mana-mana blok pembangkang. Lagipun kita bekerja sebagai blok pembangkang dan kita semua adalah dalam blok pembangkang jika kita rasa pihak kerajaan tidak dapat berfungsi dengan baik,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah pembinaan pusat wushu, Persekutuan Wushu Tarian Singa dan Naga Perak, pada Ahad.

Turut hadir, Timbalan Presiden MCA, Datuk Mah Hang Soon.

Ka Siong berkata demikian sebagai mengulas keputusan MIC yang menjadi parti komponen kedua dalam BN menjalinkan kerjasama politik dengan Pas.

Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang baru-baru ini turut menyatakan kesudian untuk bekerjasama dengan MCA selepas membentuk kerjasama dengan MIC.